Kadar individu dengan masalah kewangan masih terkawal

Anthea Yap
Februari 16, 2016 09:02 MYT
Kadar individu yang berdepan dengan masalah kewangan dan sukar membayar hutang masih berada pada tahap terkawal, kata AKPK.
Kadar individu yang berdepan dengan masalah kewangan dan sukar membayar hutang masih berada pada tahap terkawal.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Tasir, perkhidmatan yang disediakan agensi itu berjaya meningkatkan tahap keyakinan individu untuk menguruskan kewangan secara bijak.
AKPK telah berjaya menyelesaikan lebih 9,370 kes melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) dan kaunseling dengan jumlah hutang berbayar RM388.5 juta sejak Disember tahun lalu.
"Jumlah individu yang berdepan dengan masalah kewangan berada pada tahap terkawal. Kepada mereka yang tidak boleh membayar semula hutang, AKPK bersedia untuk membantu. AKPK akan membantu orang ramai melihat bagaimana cara untuk menyusun semula dan memperbaiki aliran kewangan mereka sendiri," katanya di sini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan AKPK pada Isnin.
Program pendidikan kewangan AKPK yang diperkenalkan adalah untuk memupuk tabiat meminjam secara lebih bijak dan menggalakkan budaya pembayaran semula pinjaman yang konsisten dan teratur.
Lebih 394,370 peminjam telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling AKPK dengan lebih 143,700 daripada mereka telah dibantu melalui program PPK.
#Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit #AKPK #masalah kewangan #sukar membayar hutang
;