Kadar faedah rantau APAC diunjur kekal tinggi tahun ini - Moody's
Harits Asyraf Hasnan
Februari 5, 2024 07:30 MYT
Februari 5, 2024 07:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kadar faedah di rantau Asia Pasifik (APAC) diunjur kekal tinggi tahun ini dan hanya akan turun secara beransur-ansur menjelang hujung 2024.
Moody's Investor Services dalam laporannya juga tidak menolak kemungkinan kadar faedah di beberapa negara di rantau ini akan dinaikkan sekali-sekala untuk mengawal tekanan inflasi yang tidak dijangka.
Selain itu, tekanan ke atas aliran keluar modal dan mata wang dalam rantau ini kecuali China telah mendatar seiring pelonggaran dasar monetari di Amerika Syarikat (AS).
Pada masa sama, firma penarafan itu berkata pertumbuhan ekonomi APAC melalui purata wajaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar pada 2024 dijangka akan lebih lemah, namun kekal mampan jika dibandingkan dengan rantau lain.
Ia dijangka menurun kepada 3.6 peratus pada 2024 berbanding 4.4 peratus pada 2023, mencerminkan kegawatan di China dan keadaan ekonomi global yang kurang memberangsangkan, termasuk kelembapan kitaran di AS
"Anjakan menurun dalam trajektori pertumbuhan China akan meluas di rantau ini melalui beberapa saluran penghantaran, seperti perdagangan dalam barangan dan perkhidmatan, harga komoditi dan pelaburan.
"Ini mampu ditangani melalui permintaan domestik yang kukuh dalam pasaran yang besar seperti Indonesia (Baa2 stabil) dan India (Baa3 stabil)," memetik laporan itu.
Pada masa sama, krisis geopolitik akan kekal sebagai cabaran paling utama pada ketika ini.
Malah, persaingan terhadap perdagangan dan teknologi antara China dan AS akan terus mengganggu rantaian bekalan.
Bagaimanapun, ia boleh memberi peluang kepada ekonomi yang mempunyai asas pembuatan yang kukuh dan infrastruktur yang baik, seperti Vietnam (Ba2 stabil), Thailand (Baa1 stabil) dan Malaysia (A3 stabil).
Selain itu katanya, peningkatan konflik ketenteraan di Asia Barat juga menimbulkan risiko rantaian bekalan.
Moody's dalam laporannya itu turut mengunjurkan bahawa tinjauan stabil dalam rantau APAC merentas sektor telah menurun berbanding tahun lepas, mencerminkan latar belakang ekonomi yang lebih lemah.
Katanya, syarikat bukan kewangan dan institusi kewangan di China akan terus menghadapi keadaan kredit yang sukar pada 2024.
Ia bagaimanapun berbeza dengan tinjauan yang stabil untuk syarikat bukan kewangan dan institusi kewangan di seluruh APAC.
Risiko pembiayaan semula akan kekal tinggi bagi syarikat bukan kewangan yang bergantung pada pasaran hasil tinggi.
Selain risiko daripada jangkaan pertumbuhan yang lebih perlahan bagi rantau ini, keadaan pembiayaan yang masih ketat akan mempengaruhi keupayaan kerajaan untuk mencapai penyatuan defisit dan pengurangan hutang.
Katanya, beban hutang yang lebih besar dengan kadar faedah yang lebih tinggi juga telah menyebabkan kemerosotan ketara dalam kemampuan keberhutangan.