Kadar Asas Standard akan ganti Kadar Asas bermula Ogos 2022 - BNM

Bernama
Ogos 11, 2021 21:02 MYT
Peralihan kepada Kadar Asas Standard itu tidak menggambarkan berlakunya perubahan pada pendirian dasar monetari oleh Jawatankuasa Dasar Monetari BNM.
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia mengumumkan penerbitan Rangka Kerja Kadar Rujukan dikemas kini yang mana Kadar Asas Standard akan menggantikan Kadar Asas sebagai kadar rujukan bagi pinjaman runcit berkadar terapung baharu berkuat kuasa pada 1 Ogos, 2022.
Bank pusat berkata melalui Rangka Kerja Kadar Rujukan yang dikemas kini itu, Kadar Asas Standard akan digunakan sebagai kadar rujukan yang sama bagi semua institusi kewangan untuk pinjaman runcit berkadar terapung yang baharu dan akan dihubungkan hanya kepada Kadar Dasar Semalaman (OPR).
"Perubahan kepada Kadar Asas Standard hanya akan berubah apabila berlaku perubahan pada OPR, yang ditentukan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia," kata BNM dalam satu kenyataan pada Rabu.
Gabenor Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata pelanggan akan lebih mudah memahami perubahan dalam bayaran balik pinjaman mereka memandangkan OPR akan menjadi satu-satunya penentu bagi Kadar Asas Standard.
"Kadar Asas Standard juga akan menyokong transmisi dasar monetari yang berkesan kerana pelarasan sepenuhnya pada bayaran balik pinjaman runcit akan dilaksanakan mengikut perubahan pada OPR." katanya.
Kadar Asas Standard akan berkuat kuasa sebagai kadar rujukan bagi penentuan kadar faedah untuk pinjaman runcit berkadar terapung baharu dan pembiayaan semula pinjaman sedia ada mulai 1 Ogos, 2022 yang akan memberikan masa mencukupi untuk institusi kewangan membuat persediaan dan penambahbaikan sistem yang diperlukan bagi memastikan pelaksanaan rangka kerja dikemas kini berjalan dengan lancar.
BNM berkata peralihan kepada Kadar Asas Standard susulan kemas kini Rangka Kerja Kadar Rujukan itu tidak menggambarkan berlakunya perubahan pada pendirian dasar monetari oleh Jawatankuasa Dasar Monetari BNM.
Komponen penetapan kadar faedah untuk pinjaman yang lain seperti risiko kredit peminjam, premium risiko mudah tunai, kos operasi, margin keuntungan dan kos-kos lain akan terus dicerminkan dalam spread yang melebihi Kadar Asas Standard.
Peralihan kepada Kadar Asas Standard tidak akan memberikan kesan kepada kadar pinjaman efektif bagi pinjaman runcit sedia ada, kerana pinjaman runcit sedia ada akan terus menggunakan Kadar Asas dan Kadar Pinjaman Asas sebagai rujukan.
Selepas tarikh kuat kuasa tersebut, Kadar Asas dan Kadar Pinjaman Asas akan bergerak betul-betul seiring dengan Kadar Asas Standard kerana sekiranya berlaku pelarasan pada Kadar Asas Standard, Kadar Asas dan Kadar Pinjaman Asas akan diselaraskan secara serentak.
"Sehubungan dengan itu, institusi kewangan akan terus memaparkan Kadar Asas dan Kadara Pinjaman Asas mereka, selain memaparkan Kadar Asas Standard, di semua cawangan dan laman sesawang mereka selepas tarikh kuat kuasa untuk rujukan pelanggan," kata BNM.
Menurut bank pusat, peminjam runcit baharu tidak sepatutnya terkesan oleh perubahan ini kerana kadar pinjaman efektif bagi peminjam baharu akan terus ditentukan secara kompetitif dan dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk penilaian institusi kewangan terhadap kedudukan kredit peminjam, keadaan pendanaan dan strategi perniagaan.
-- BERNAMA
#Bank Negara Malaysia #Rangka Kerja Kadar Rujukan #OPR #dasar monetari #pinjaman runcit berkadar terapung #pinjaman runcit #kadar dasar semalaman #Nor Shamsiah Mohd Yunus #bayaran balik pinjaman #transmisi #pelarasan