K-Colly tidak teragak-agak ambil tindakan undang-undang kepada pemfitnah

Amzar Alif
Jun 15, 2024 20:30 MYT
(Dari kiri) Dr. Siti Latifah Abdul Kadir, Dr. Mohd Redza Abd Rahman, Mohd Zulkifli Hussain, dan Azreen Azmi menunjukkan salah satu produk terlaris yang dikeluarkan oleh K-Colly. – Gambar K-Colly
KUALA LUMPUR: Jenama produk makanan kesihatan tambahan popular tempatan K-Colly tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap dua individu yang telah memfitnah produk tersebut pada bulan lalu di laman sosial.
Tuduhan tersebut mendakwa produk K-Colly menjejaskan kesihatan sehingga buah pinggang mengecut selepas mencuba salah satu produk tersebut dalam tempoh yang singkat.
Menurut peguam yang mewakili K-Colly, Azreen Azmi, reputasi bersih yang dibina K-Colly selama 13 tahun telah tercalar dengan tuduhan tersebut sehingga mengalami kerugian jualan.
“Pihak K-Colly telah pun membuat dua laporan polis di Balai Polis Pokok Sena, Kota Setar, Kedah dan perkara ini masih dalam siasatan pihak polis.
“Namun kita memberi peluang untuk mereka tampil ke hadapan membuat permohonan maaf secara terbuka, jika mereka gagal untuk memenuhi apa yang dituntut, pihak syarikat K-Colly akan terus untuk memfailkan saman fitnah,” katanya selepas sidang media di ibu negara pada Jumaat.
Tuduhan fitnah itu dimuat naik dalam sebuah video di aplikasi TikTok sehingga mencapai dua juta tontonan, selain komen berunsur fitnah di laman Facebook.
Azreen turut memberi amaran kepada netizen agar berfikir panjang sebelum membuat sebarang tuduhan dan komen di platform media sosial.
Sementara itu, saintis Synamatix Sdn. Bhd., Dr. Mohd Redza Abd Rahman, menegaskan produk K-Colly telah menjalani pemeriksaan di makmal bertauliah dan telah melepasi ujian sijil analisis (COA).
“Bahan-bahan yang terdapat dalam K-Colly merupakan bahan-bahan semula jadi antaranya seperti Vitamin-C, Glutathione, Sakura Peptide, dan yang lain-lain.
“Ini adalah bahan-bahan yang telah diuji secara klinikal secara individu yang telah kita buktikan keberkesanannya dan juga keselamatannya,” ujarnya.
Pada majlis yang sama, K-Colly telah melantik pempengaruh media sosial terkenal, Dahlia Rizal, yang juga pengguna produk itu bagi menjadi duta baharu mereka.
K-Colly turut berkesempatan menyampaikan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Yayasan Nurjiwa bersempena kehadiran Hari Arafah di samping meringankan beban rakyat Palestin.
Selain itu, pelanggan K-Colly juga kini berpeluang memenangi Perodua Axia dan tajaan umrah dengan memuat naik review penggunaan produk K-Colly di aplikasi TikTok.
#K-Colly #makanan kesihatan #undang-undang #media sosial
;