Jurang ketidaksamaan pendapatan isi rumah kekal tinggi berlainan negeri

Nuradilla Noorazam
Ogos 29, 2016 21:47 MYT
Kuala Lumpur mempunyai GDP per individu yang menyamai penduduk Korea Selatan manakala Kelantan merekodkan GDP per individu seperti rakyat di Indonesia atau Sri Lanka. - Gambar fail
Jurang ketidaksamaan di antara isi rumah berlainan negeri kekal tinggi dengan agihan pendapatan di setiap negeri selain Kuala Lumpur menunjukkan kadar lebih rendah dari kadar nasional.
Walaupun hampir setiap negeri mengalami pengurangan dalam jurang ketidaksamaan dari tahun 2012 dan 2014, Pahang dan Putrajaya pula tidak menunjukkan perubahan.
Pengurangan jurang ketidaksamaan tertinggi direkodkan di Perlis yang bermula dari negeri dengan jurang ketidaksamaan paling tinggi pada tahun 2012 kepada negeri ketiga paling sama rata dalam negara.
Putrajaya pula menunjukkan jurang ketidaksamaan yang meningkat sebanyak 6.9 peratus.
Manakala Kuala Lumpur yang pernah direkodkan sebagai negeri kedua paling tidak sama rata kepada negari dengan jurang ketidaksamaan paling kurang pada 2014.
Walaupun pendapatan isi rumah median meningkat di setiap negeri, terdapat beberapa perbezaan di antara pendapatan antara negeri.
Sejumlah 84.8 peratus dari isi rumah di Kelantan mempunyai pendapatan kurang dari RM6,000 sebulan, iaitu kurang dari pendapatan median isi rumah negara RM6,141, manakala isi rumah di Putrajaya membawa pulang RM6,000 dan lebih.
Di Kelantan, Sabah dan Sarawak, kelas pendapatan terbesar adalah mereka dengan pendapatan sebanyak RM2,000 sebulan berbanding dengan kelas pendapatan terbesar yang boleh didapati di Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu mereka yang mempunyai pendapatan lebih RM15,000 sebulan.
Ketidaksamaan di antara pendapatan isi rumah juga boleh difahami melalui perbezaan Hasil Dalam negeri Kasar (GDP) setiap individu.
Kuala Lumpur mempunyai GDP per individu yang menyamai penduduk Korea Selatan manakala Kelantan merekodkan GDP per individu seperti rakyat di Indonesia atau Sri Lanka.
Malah, jurang ketidaksamaan diantara Kelantan dan Kuala Lumpur juga meningkat dari tahun 2012 ke 2014.
Bagaimanapun, jurang ketidaksamaan di antara penduduk di bandar dan luar banda menunjukkan kadar penurunan. Pendapatan bulanan isi rumah juga meningkat dari RM3,080 pada tahun 2012 ke RM3.831 pada tahun 2014. Peningkatan 10.9 peratus ini nyata lebih tinggi berbanding kadar peningkatan pendapatan bulanan isi rumah di kawasan bandar pada 8.7 peratus.
Tetapi jurang ketidaksamaan harta pula kekal tinggi terutama dalam bentuk simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
#agihan pendapatan isi rumah #ekonomi #Kelantan #Kuala Lumpur #Perlis #Sabah #Sarawak
;