Jumlah sumbangan kepada KDNK bukti kewangan Selangor stabil - MB
Wan Syamsul Amly
November 23, 2018 21:13 MYT
November 23, 2018 21:13 MYT
Sumbangan lebih 20 peratus Selangor kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia membuktikan kewangan yang stabil melalui pengukuhan aspek tadbir urus dan polisi yang efektif.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, ia peningkatan kepada 23 peratus pada 2017 daripada 22.7 peratus pada tahun sebelumnya.
"Ia dijangka akan terus meningkat dalam tahun 2018. Manakala, kadar pertumbuhan KDNK Selangor pada 2017 adalah sebanyak 7.1 peratus berbanding 4.8 peratus pada tahun 2016.
"Malaysian Insititute of Economic Research (MIER) mengunjurkan ekonomi Negeri Selangor dijangka kekal positif pada kadar 5.7 peratus pada tahun 2018 dengan semua sektor mencatatkan peningkatan kecuali sektor pertanian manakala sektor perkhidmatan dan pembuatan kekal sebagai pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor," katanya semasa ucapan belanjawan Selangor 2019 di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, sektor perkhidmatan di Selangor merekodkan nilai ditambah berjumlah RM161.79 bilion pada tahun 2017.
"Sumbangan sektor perkhidmatan kepada keseluruhan KDNK Selangor adalah sebanyak 60 peratus. Sektor ini mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.8 peratus pada tahun 2017 berbanding 6.0 peratus pada tahun sebelumnya.
"Selangor merupakan penyumbang utama kepada sektor pembuatan di Malaysia iaitu sebanyak 29.4 peratus. Nilai ditambah sektor ini pada tahun 2017 adalah sebanyak RM79.2 bilion berbanding RM73.4 bilion pada tahun 2016.
"Peningkatan nilai sebanyak RM5.8 bilion ini merekodkan pertumbuhan 7.9 peratus (2016: 4.3%)," jelasnya.
Katanya lagi, pertumbuhan yang kukuh ini diterajui oleh industri berorientasikan eksport dan domestik.
"Sub sektor produk elektrik, elektronik dan optikal mencatatkan pertumbuhan dua angka, iaitu 10.2 peratus (2016: 7.4%) disokong oleh pengeluaran yang tinggi bagi produk semikonduktor, litar elektronik bersepadu dan peralatan elektronik pengguna yang menerima permintaan global yang tinggi.
"Ini seiring dengan jumlah pelaburan yang diluluskan bagi industri elektrik dan elektronik yang meningkat kepada RM479.7 juta berbanding RM188.2 juta pada tahun sebelumnya," ujarnya.
Dalam,pada itu kata Amirudin, keazaman penjawat awam negeri itu untuk menunaikan tanggungjawab dan kecekapan menjadi inspirasi kepadanya untuk berusaha dengan lebih kuat.
Justeru katanya, suatu pembayaran bantuan khas kewangan tambahan satu bulan gaji yang akan dibayar kepada penjawat awam pada 20 Disember yang memberi implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri
sebanyak RM 34.53 juta.
#Belanjawan Selangor 2019
#ekonomi
#KDNK
#KDNK Selangor
#Keluaran Dalam Negara Kasar
#Malaysian Insititute of Economic Research
#MIER
#pelaburan
#penjawat awam
#Selangor