Jumlah pendeposit TH kembali stabil - Pengerusi TH

Bernama
November 17, 2016 17:10 MYT
Abdul Azeez berkata sumbangan menerusi agihan zakat pendidikan itu dilaksanakan di semua negeri sepanjang bulan ini dengan menyasarkan sumbangan berjumlah RM2 juta untuk 4,000 pelajar asnaf terpilih. - Foto Bernama
Jumlah pendeposit Tabung Haji (TH) kembali stabil setelah rakyat mula meletakkan kepercayaan semula kepada institusi pelaburan Islam itu, kata Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
"Rakyat pun dah tahu tentang taburan-taburan fitnah sebelum ini hanyalah serangan politik semata-mata dan sebenarnya pengurusan TH adalah mantap dan tidak ada mana-mana pihak yang boleh mengganggu urusan mereka.
"Kita juga berharap pendeposit akan terus menyokong dan berdoa agar kita (TH) melakukan kebaikan kerana kita menjaga wang untuk mereka yang hendak melaksanakan ibadah haji," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kembali ke sekolah menerusi Program Iqra' TH 2016 Peringkat Negeri Selangor, di TH Hotel, di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 553 pelajar asnaf daripada 10 sekolah terpilih sekitar Daerah Petaling Jaya menerima sumbangan RM500 setiap seorang, berupa kelengkapan sekolah bernilai RM200 dan wang tunai berjumlah RM300.
Abdul Azeez berkata sumbangan menerusi agihan zakat pendidikan itu dilaksanakan di semua negeri sepanjang bulan ini dengan menyasarkan sumbangan berjumlah RM2 juta untuk 4,000 pelajar asnaf terpilih. - Bernama
#abdul azeez #pelaburan islam #Tabung Haji #TH
;