Jumlah hartanah komersial tidak terjual membimbangkan - BNM

Bernama
Mac 31, 2021 22:08 MYT
Nor Shamsiah berkata jumlah hartanah tidak terjual itu masih di paras "amat tinggi." - Gambar fail/ Astro AWANI / Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Jumlah hartanah tidak terjual menyaksikan perubahan susulan pelaksanaan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) oleh kerajaan, namun pasaran komersial kekal sebaliknya dan terus membimbangkan terutama dalam persekitaran norma baharu.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata jumlah hartanah tidak terjual itu masih di paras "amat tinggi."
"Jumlahnya kira-kira 170,000 unit dan sudah berkurangan, namun paras itu masih terlalu tinggi. Kempen HOC yang diperkenalkan kerajaan pada tahun lepas telah membantu penjualan sebilangan unit tidak terjual ini.
"Namun, dari segi hartanah tidak terjual, kami bimbangkan (prestasi) hartanah komersial kerana jumlah penawaran ruang pejabat dan kompleks beli-belah ini amat tinggi walaupun sebelum pandemik COVID-19.
"Malah, keperluan terhadap ruang pejabat dan premis fizikal ini akan merosot dengan permintaannya tidak lagi tinggi seperti sebelumnya berikutan (faktor seperti) pandemik, jualan secara dalam talian yang lebih hebat serta lebih banyak aturan bekerja dari rumah," kata beliau dalam sesi taklimat kepada pengarang media pada Selasa.
Sehubungan itu, perkembangan membabitkan ruang komersial tidak terjual ini adalah sesuatu yang membimbangkan BNM memandangkan lebihan kapasiti dalam pasaran akan bertambah buruk dalam persekitaran normal baharu.
"Mujurlah, pendedahan bank terhadap segmen ini adalah kecil dan mewakili 3.2 peratus daripada jumlah pinjaman," kata beliau.
Bagaimanapun, bank pusat itu menerusi Laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan Bagi Separuh Kedua 2020 menyatakan, keadaan pasaran kediaman yang lebih lemah menyebabkan para pemaju bertindak melakukan penyesuaian dengan menawarkan lebih banyak segmen rumah mampu milik.
"Biarpun pelancaran (baharu) bagi semua segmen harga secara keseluruhannya merosot dengan ketara bagi tempoh tiga suku pertama 2020 (24,853 unit; suku pertama-suku ketiga 2019: 60,955), penurunan ini lebih ketara bagi hartanah berharga lebih RM500,000.
"Berikutan itu, bahagian membabitkan hartanah yang baharu dilancar bagi segmen ini susut kepada 20.5 peratus daripada keseluruhan pelancaran baharu (suku pertama-suku ketiga 2019: 31.8 peratus).
"Ini merupakan perkembangan yang dialu-alukan dan dapat membantu mengurangkan ketidakpadanan permintaan-penawaran yang telah menjejaskan kemampuan memiliki rumah dan meningkatkan risiko pembetulan harga pada sebelumnya," katanya.
Menurut bank pusat itu, persekitaran kadar faedah yang rendah juga menggalakkan pembelian bagi tujuan pemilikan sendiri dan pelaburan.
Permintaan terhadap pembiayaan juga seiring dengan aktiviti pasaran yang mana pertumbuhan permohonan pinjaman perumahan meningkat dan merentasi hampir semua segmen harga kecuali bagi kediaman berharga kurang atau di bawah RM300,000.
Risiko terhadap bank-bank bagaimanapun kekal terkawal dengan nisbah rosot nilai semasa dan bahagian peminjam dalam ekuiti negatif bagi pelabur isi rumah masing-masing pada 0.9 peratus dan 1.3 peratus.
Purata nisbah pinjaman terhadap nilai pinjaman terkumpul pula kekal di bawah 60 peratus yang mengurangkan risiko lebih banyak peminjam tergolong dalam kelompok ekuiti negatif selain mengehadkan kerugian yang dialami oleh pihak bank.
-- BERNAMA
#Bank Negara Malaysia #kerajaan #pelaburan #COVID-19 #HOC #hartanah komersial #tak terjual #membimbangkan #Gabenor #Nor Shamsiah Mohd Yunus
;