Jumlah agihan dividen Kosma lebih RM30 juta - Wan Rosdy

Bernama
April 10, 2023 13:26 MYT
Wan Rosdy (tengah) bergambar selepas mengumumkan agihan keuntungan pelaburan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) di Pejabat Menteri Besar hari ini. - Foto BERNAMA
KUANTAN: Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) mengagihkan dividen modal syer sebanyak 55 peratus melibatkan jumlah agihan sebanyak RM30.4 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2022, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata pembahagian keuntungan unit ladang pula berjumlah RM30.2 juta dengan sebanyak RM6,500 seunit akan dibayar penuh mengikut unit dimiliki anggota.
"Bayaran agihan dividen ini melibatkan pendahuluan sebanyak 10 peratus yang akan dibayar secara berperingkat kepada semua anggota Kosma yang layak bermula 13 April ini manakala baki dividen modal syer pula akan dibayar setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Sri Pahang di sini hari ini yang turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Pentadbir Kosma Datuk Zazali Haron.
Sementara itu, Wan Rosdy memaklumkan bagi hasil sektor perladangan untuk tahun lepas, Kosma telah mencatatkan peningkatan hasil pendapatan iaitu RM237 juta berbanding RM222 juta pada 2021.
Beliau berkata keuntungan bersih Kosma pada 2022 pula berjumlah RM84 juta berbanding RM74 juta pada tahun sebelumnya yang telah memberi manfaat kepada 1,430 anggota koperasi itu.
Dalam pada itu, beliau berkata Pentadbir Kosma bercadang untuk mengadakan Mesyuarat Agung ke-38 pada penghujung Jun ini bagi menyerahkan pengurusan koperasi kepada Anggota Lembaga Koperasi yang baharu setelah dua tahun tidak dapat menjalankan mesyuarat agung disebabkan pandemik COVID-19.
Terdahulu, Kosma turut menyerahkan sumbangan dua van serbaguna dan tiga van jenazah kepada lima masjid di negeri ini.
-- BERNAMA
#Koperasi Serbausaha Makmur Berhad #Kosma #Agihan dividen #Wan Rosdy Wan Ismail
;