Jualan suku ketiga Perodua naik 28.3 peratus, pendaftaran lepasi 230,000
Najib Aroff
Oktober 27, 2023 09:20 MYT
Oktober 27, 2023 09:20 MYT
TOKYO: Perodua merekodkan kenaikan jualan 28.3 peratus bagi suku ketiga tahun ini kepada 88,537 unit, berbanding 69,011 unit yang dicatatkan suku sama tahun lepas, berikutan faktor pengeluaran yang bertambah baik.
Peningkatan jualan itu disumbangkan oleh kecekapan operasi yang lebih baik di bahagian pengeluaran, yang menyaksikan 91,528 unit kenderaan dikeluarkan - kenaikan 21.7 peratus berbanding 75,196 unit pada suku sama tahun lalu.
Pada suku berkenaan juga, Perodua berjaya mengeluarkan sejumlah 30,000 unit kenderaan sebulan.
Setakat sembilan bulan pertama tahun ini, Perodua berjaya menghasilkan sejumlah 245,341 unit kenderaan, peningkatan sebanyak 18.6 peratus daripada 206,837 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Sementara itu, pendaftaran terkini Perodua adalah sebanyak 233,227 unit dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding 196,354 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lalu.
Daripada 233,227 unit yang didaftarkan itu, model Perodua terbanyak yang dijual sehingga September 2023 adalah Perodua Bezza, diikuti oleh Perodua Axia dan Perodua Myvi.
Bagaimanapun, Perodua mengakui pihaknya masih berdepan cabaran memenuhi permintaan susulan gangguan rantai bekalan semokonduktor.
Menurut Naib Presiden Perodua, Datuk Ahmad Suhaimi Hashim, susulan situasi itu, tempoh masa menunggu bagu tempahan model Bezza dan Alza mencecah sehingga lapan bulan.
“Apa yang menghalang (pengeluaran) kami adalah kerana Perodua ada (komponen) OEM. Kami masih berdepan kesukaran bekalan semikonduktor dan Alza adalah salah satu model yang terkesan.
“Selain itu, jumlah tempahan juga sangat luar biasa,” katanya kepada media selepas Japan Mobility Show di sini, pada Khamis.
Tambah Ahmad Suhaimi, syarikat itu berharap situasi akan jauh lebih baik bagi pengeluaran model Alza yang dihasilkan di Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd (PGMSB) di Rawang.
“Sejak tahun ini kami sudah meningkatkan kapasiti pengeluaran di PGMSB sebanyak tiga kali.
“Kadar kelajuan maksimum kami adalah 1.0 dan kami juga sudah menambah jumlah pekerja dalam usaha mengurangkan tempoh masa menunggu tempahan kenderaan,” katanya.