Jualan Proton pada Oktober melonjak 13.6 peratus, catat jumlah YTD 125,557 unit
Bernama
November 5, 2024 05:00 MYT
November 5, 2024 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd merekodkan jualan sebanyak 12,799 unit bagi pasaran domestik dan eksport pada Oktober, peningkatan 13.6 peratus berbanding 11,269 unit pada bulan sebelum itu, sekali gus meningkatkan jumlah jualan tahun sehingga kini (YTD) kepada 125,557 unit.
Dalam satu kenyataan, pengeluar kereta nasional itu berkata ia kekal sebagai jenama kedua paling popular dalam kedudukan jualan automotif negara, dengan jangkaan bahagian pasaran sebanyak 18.1 peratus untuk bulan tersebut dan YTD sebanyak 18.9 peratus untuk keseluruhan 2024.
Jumlah jualan bagi industri automotif pulih pada Oktober selepas merosot pada bulan sebelumnya.
"Memandangkan pengeluar peralatan asal (OEM) membanjiri pasaran dengan tawaran untuk meningkatkan angka jualan akhir tahun, jumlah volum industri (TIV) dijangka mencapai 70,668 unit, kali kelima ia melangkaui had unit 70,000 unit tahun ini.
"Ia berada pada landasan untuk mencapai rekod baharu pada penghujung 2024," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata suku terakhir 2024 akan menjadi tempoh yang mencabar bagi pemain automotif susulan kemasukan jenama dan produk baharu, serta kesungguhan untuk mencapai sasaran jualan akhir tahun akan membuka pelbagai tawaran untuk pembeli kereta baharu.
"Menjelang tahun baharu, syarikat akan membina asas untuk memainkan peranan utama dalam pasaran kenderaan elektrik (EV).
"Proton e.MAS 7 telah pun dipratonton kepada ribuan bakal pembeli dan akan mengadakan pelancaran besar-besarannya pada Disember, dengan 36 pengedar mewakili jenama itu," katanya.
Proton berkata model X50nya mengekalkan kedudukan teratasnya dalam pasaran SUV segmen B, dengan 2,122 unit dihantar pada Oktober walaupun terdapat banyak pesaing yang melancarkan produk saingan tahun ini.
Selepas tersingkir sebagai sedan segmen C terlaris pada September, jualan Proton S70 pulih dengan 1,432 unit dijual, mengembalikannya ke puncak untuk bulan ini dan kekal mendahului jualan YTD.
Proton X70 pula terjual sebanyak 989 unit pada Oktober, manakala Proton Iriz mencatatkan 379 unit untuk kekal di tempat keempat bagi jualan hatchback segmen B.
-- BERNAMA