Jualan Proton meningkat 162 peratus tahun ke tahun pada Januari 2023
Bernama
Februari 3, 2023 04:00 MYT
Februari 3, 2023 04:00 MYT
KUALA LUMPUR: Jualan Proton Holdings Bhd meningkat sebanyak 162.3 peratus tahun ke tahun dengan 11,681 unit kenderaan dijual pada Januari 2023 sekali gus mencatatkan jualan Januari yang terbaik sejak 2013.
Dalam kenyataan pada Jumaat, pengeluar kereta nasional itu berkata pegangan pasarannya pada bulan berkenaan dianggarkan 22.9 peratus, lebih baik berbanding pegangan pasaran sebanyak 19.6 peratus untuk keseluruhan tahun lepas.
Menurutnya Saga merupakan model terlaris dengan 4,788 unit dijual pada Januari 2023, diikuti X50 (2,992 unit terjual), Persona (2,039 unit) dan X70 (993 unit).
Jualan Iriz melonjak sebanyak 111 peratus tahun ke tahun kepada 597 unit manakala sebanyak 332 unit Exora dijual pada bulan lepas.
Proton berkata jumlah keseluruhan volum industri (TIV) pada Januari dianggarkan pada 51,000 unit iaitu peningkatan sebanyak 22.8 peratus dari segi jumlah jualan kenderaan.
Mengulas mengenai prestasi itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata syarikat menjangkakan aliran positif ini akan berterusan pada suku pertama tahun ini berikutan pihaknya mesti memenuhi pesanan tertunggak yang dikecualikan daripada cukai jualan dan perkhidmatan menjelang 31 Mac.
Mengenai prospek 2023, Roslan berkata walaupun TIV diunjurkan surut berbanding rekod baharu jumlah jualan pada tahun lepas, Proton optimistik akan berjaya mencapai pertumbuhan untuk tahun ke lima berturut-turut.
"Dengan fasiliti baharu yang akan beroperasi di kilang Tanjung Malim, penambahan kepada rangkaian jualan, pelaburan terhadap infrastruktur mengecas kenderaan elektrik (EV) serta penambahan model konvensional dan EV kepada barisan model Proton, kami yakin akan mampu mencapai keputusan yang positif pada akhir tahun," katanya.
-- BERNAMA