Jualan Proton melonjak 13.6 peratus kepada 12,522 unit pada Mei
Bernama
Jun 6, 2024 15:15 MYT
Jun 6, 2024 15:15 MYT
KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd mencatatkan kadar pertumbuhan jualan sebanyak 13.6 peratus kepada 12,522 unit pada Mei 2024 bagi pasaran domestik dan eksport berbanding bulan sebelumnya.
Menurutnya jualan bagi lima bulan pertama yang dicatatkan sebanyak 62,697 unit mengukuhkan kedudukan tempat kedua Proton dalam keseluruhan jualan automotif nasional dengan pegangan pasaran dianggarkan pada 19 peratus.
"Pertumbuhan jualan yang dicatatkan Proton pada Mei adalah selaras dengan trend jumlah volum industri (TIV) yang dianggarkan meningkat sebanyak 20.7 peratus kepada kira-kira 70,000 unit pada Mei," jelas Proton dalam kenyataan pada Khamis.
Secara kumulatif, angka yang direkodkan sehingga kini bagi 2024 untuk TIV dianggarkan pada 330,236 unit bersamaan dengan peningkatan 8.8 peratus berbanding angka pada 2023.
Proton memaklumkan rancangan pihaknya untuk mengembangkan dan membina semula jenama di negara seperti Trinidad dan Tobago, Bangladesh dan Iraq tahun ini terbukti membuahkan hasil apabila jualan eksport mencapai 509 unit pada Mei, penghantaran tertinggi yang dicatatkan untuk 2024 setakat ini.
"Sejak Februari tahun ini, model eksport paling laris ialah Proton Saga, yang sekali lagi mendahului model lain dengan 360 unit dieksport pada Mei. Kebanyakan model juga mencatatkan peningkatan jualan eksport, menjadikan jualan eksport kumulatif kepada 1,344 unit sejak Januari tahun ini berbanding 820 unit untuk tempoh sama pada 2023," tambahnya.
Sementara itu, jualan Proton Saga meningkat 21.6 peratus kepada 6,119 unit pada Mei menjadikan jualan tahun sehingga kini meningkat sebanyak 8.0 peratus kepada 29,397 unit memandangkan model itu kekal menjadi produk yang menarik bagi pembeli kereta Malaysia.
Peneraju pasaran Proton pada Mei ialah sedan segmen C, iaitu Proton S70, dengan jualannya meningkat 23 peratus kepada 2,011 unit daripada 1,635 unit pada April, dan jualan kumulatif untuk lima bulan pertama 2024 kini berjumlah 9,474 unit.
Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar Roslan Abdullah berkata Mei telah menunjukkan pertumbuhan positif dengan peningkatan TIV tahun ke tahun dan bulan ke bulan, menunjukkan daya tahan industri automotif tempatan.
"Dengan TIV kumulatif sehingga Mei sudah mencapai 44.6 peratus daripada unjuran setahun Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 740,000 unit, kami percaya masih ada ruang untuk pertumbuhan dalam industri automotif tempatan," katanya.
Beliau berkata memasuki separuh kedua 2024, Proton akan menumpukan kepada peningkatan jualan melalui kemas kini model sedia ada, di samping mengambil langkah pertama untuk memasuki pasaran kenderaan elektrik (EV).
"Menerusi langkah memanfaatkan kelebihan rakan kongsi kami, Geely, persoalannya bukan sama ada namun jangka waktu Proton akan memperkenalkan EV kami sendiri, jadi berilah perhatian kerana terdapat banyak pengumuman menarik tidak lama lagi," katanya.
-- BERNAMA