Jualan Proton melonjak 107 peratus pada Februari 2022
Bernama
Mac 3, 2022 14:38 MYT
Mac 3, 2022 14:38 MYT
KUALA LUMPUR: Jualan Proton Holdings Bhd (Proton) melonjak 107 peratus pada Februari 2022, selepas mengalami tempoh mencabar pada Januari berikutan barisan pengeluarannya terjejas teruk akibat isu banjir yang belum selesai.
Ia menjual 9,225 unit di peringkat domestik dan eksport bulan lepas, sekali gus berada semula di kedudukan kedua dari segi jualan automotif selain meletakkan kembali Proton di landasan untuk pulih daripada kemerosotan jualan pada Januari.
"Penguasaan pasaran domestik Proton bagi Februari dianggarkan pada 20.2 peratus manakala untuk dua bulan pertama tahun ini, penguasaan pasaran terkumpul dianggarkan pada 15.9 peratus.
"Bagi pasaran automotif secara amnya, jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tahun ini diunjurkan meningkat 11.4 peratus berbanding dua bulan pertama 2021," menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah berkata keupayaan syarikat mengeluarkan lebih banyak kereta merupakan punca utama pemulihan jualan pada Februari.
Beliau berkata ia hanya dapat dicapai melalui usaha bersama yang cemerlang daripada vendor dan kakitangan untuk mengembalikan Proton ke landasan yang betul.
"Syukurlah, prestasi buku tempahan kami kekal baik, dan yakin boleh mencapai sasaran kami untuk tahun ini," katanya.
Menurut Proton, susulan penyambungan penuh pengeluaran di Shah Alam, Selangor dan Tanjung Malim, Perak jumlah jualan secara keseluruhannya mencatatkan peningkatan ketara.
Bagaimanapun, pengeluaran dan aktiviti jualan biasa bagi model seperti Saga hanya dapat dijalankan selama setengah bulan dan ini menjejaskan potensi penuhnya, jelas syarikat itu.
Ia menjelaskan Saga mencapai 2,951 unit pada Februari, walaupun angka itu kurang daripada purata bulanan biasa, namun jualannnya dijangka kembali kepada tahap sebelumnya dalam beberapa bulan akan datang.
Model lain mencapai jualan yang lebih baik berbanding dengan sasaran jualan, dengan X50 and X70 mengakhiri Februari dengan jualan masing-masing sebanyak 3,002 dan 1,119 unit.
Proton menambah, ini sekali gus membolehkan kedua-duanya mengekalkan kedudukan di tempat pertama dalam segmen masing-masing.
Jualan eksport semakin meningkat apabila merekodkan lonjakan 72.8 peratus pada 2022 dengan 323 unit pelbagai kereta Proton telah dijual dalam dua bulan pertama tahun ini, berbanding hanya 187 unit dijual pada tahun lepas.
Roslan berkata Proton mengambil langkah untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan selepas jualan bagi pelanggannya.
"Proton menyedari isu yang dihadapi berkaitan selepas jualan dan ketersediaan alat ganti. Pelanggan telah menghubungi kami dan kami amat menyesali sebarang kesulitan yang berlaku.
"Saya ingin menegaskan bahawa kami memberi perhatian serius kepada setiap aduan yang diterima dan pihak pengurusan telah mengenal pasti beberapa kekurangan dan isu operasi yang memerlukan penyelesaian," katanya.
Beliau berkata langkah pertama adalah menangani ketersediaan alat ganti dan telah melaksanakan peraturan mandatori dengan semua pengedar dikehendaki memegang stok tiga bulan bagi 22 alat ganti yang mencatatkan permintaan tinggi.
"Kami juga memperkukuh keupayaan dan pengetahuan pengedar kami untuk menyediakan perkhidmatan selepas jualan yang cemerlang kepada semua pelanggan. Masih banyak lagi yang perlu dilakukan dan kami akan memaklumkan perkembangan kami sepanjang tahun ini," katanya.
-- BERNAMA