Jualan Perodua naik 5.0 peratus pada suku ketiga 2022
Bernama
Oktober 6, 2022 17:03 MYT
Oktober 6, 2022 17:03 MYT
KUALA LUMPUR: Jualan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) meningkat lima peratus kepada 69,011 unit pada suku ketiga 2022 daripada 65,719 unit pada suku kedua 2022 berikutan rantaian bekalan automotif yang semakin baik.
Pengeluar kereta tempatan itu berkata peningkatan jualan dalam suku itu menunjukkan kebanyakan isu utama dalam rantaian bekalan automotif telah pulih.
"Kini tiba masanya untuk menambah baik pengeluaran kerana kami perlu mengurangkan tempoh menunggu para pelanggan kami yang dihargai," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Perodua, pendaftaran kenderaan melonjak sebanyak 216.5 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2022 berikutan sekatan yang dikenakan pada suku ketiga 2021 bagi mengekang peningkatan kes Covid-19.
Sementara itu, bagi perbandingan tahun setakat ini, jualan meningkat sebanyak 64.9 peratus kepada 196,354 unit dari Januari hingga September 2022 berbanding 119,093 unit yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lepas, katanya.
Zainal Abidin berkata Perodua pada masa ini memberi fokus untuk meningkatkan momentum suku keempat 2022 serta memaksimumkan pengeluaran pada suku pertama 2023 bagi memastikan semua pelanggan yang menempah kenderaan Perodua mereka dalam tempoh pengecualian cukai jualan akan menerima kereta mereka pada atau sebelum 31 Mac 2023.
Setakat 30 Jun 2022, bilangan tempahan tertunggak yang layak untuk pengecualian cukai jualan adalah melebihi 200,000 pesanan.
Mengenai pengeluaran, Perodua telah mencapai pengeluaran bulanan tertinggi setakat tahun ini dengan 29,077 unit pada September, menjadikan jumlah pengeluaran setakat tahun ini kepada 206,837 unit.
-- BERNAMA