Jualan perdagangan borong, runcit melonjak semula 26.3 peratus kepada RM84.4 bln pada Mei

Bernama
Julai 9, 2020 14:47 MYT
Meskipun mencatatkan pertumbuhan positif bulan ke bulan, jualan perdagangan borong dan runcit menguncup 23.8 peratus tahun ke tahun. - Gambar fail
Jualan perdagangan borong dan runcit merekodkan RM84.4 bilion, meningkat RM17.5 bilion atau 26.3 peratus pada Mei 2020 berbanding bulan lepas.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata Ini berikutan pembukaan semula hampir kesemua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan bermula 4 Mei, 2020 di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
"Subsektor kenderaan bermotor merupakan penyumbang terbesar kepada kenaikan ini dengan nilai jualan sebanyak RM6.8 bilion, meningkat RM6.0 bilion atau 709.0 peratus bulan ke bulan.
"Ini diikuti oleh perdagangan runcit berjumlah RM36.9 bilion, meningkat RM8.6 bilion atau 30.5 peratus manakala perdagangan borong turut mengukuh RM3.0 bilion atau 8.0 peratus kepada RM40.7 bilion," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, jualan runcit dalam talian meningkat 9.3 peratus untuk pertumbuhan bulanan pada Mei 2020 sementara secara perbandingan tahunan, ia mengukuh 39.3 peratus..
Mohd Uzir berkata meskipun mencatatkan pertumbuhan positif bulan ke bulan, jualan perdagangan borong dan runcit menguncup 23.8 peratus tahun ke tahun, kejatuhan ketiga berturut-turut selepas Mac dan April 2020.
"Subsektor perdagangan borong mencatatkan kejatuhan terbesar berbanding subsektor yang lain iaitu sebanyak RM12.6 bilion atau -23.6 peratus berbanding setahun yang lalu.
"Perdagangan runcit juga menyusut sebanyak RM7.2 bilion atau -16.2 peratus sementara kenderaan bermotor jatuh sebanyak RM6.6 bilion atau -49.5 peratus pada bulan ini," kata beliau.
Dari segi indeks volum, perdagangan borong dan runcit kembali positif pada 30.3 peratus bulan ke bulan pada Mei 2020, didorong oleh pertumbuhan dalam subsektor kenderaan bermotor yangmerekodkan 763.3 peratus, kata Mohd Uzir.
"Perdagangan runcit dan perdagangan borong juga menunjukkan pertumbuhan positif iaitu 32.9 peratus dan 12.0 peratus pada bulan ini," kata beliau.
-- BERNAMA
#ekonomi #Jualan perdagangan borong dan runcit #perintah kawalan pergerakan #perintah kawalan pergerakan bersyarat
;