Jualan perdagangan borong, runcit Malaysia meningkat 3.9 peratus suku pertama 2022
Bernama
Mei 12, 2022 19:01 MYT
Mei 12, 2022 19:01 MYT
KUALA LUMPUR: Jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan peningkatan 3.9 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu disumbangkan oleh subsektor kenderaan bermotor yang meningkat 8.8 peratus, diikuti perdagangan runcit dan borong masing-masing meningkat 5.1 peratus dan 1.2 peratus.
"Bagi perbandingan suku ke suku, indeks volum meningkat 0.7 peratus, disokong oleh perdagangan runcit yang meningkat 3.2 peratus," katanya dalam satu kenyataan mengenai indeks volum bagi perdagangan volum dan runcit untuk suku pertama 2022 dengan 2015 sebagai tahun asas.
Pengembangan indeks volum kenderaan bermotor tahun ke tahun disumbangkan terutamanya oleh jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor, serta penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor, yang mencatatkan pertumbuhan positif masing-masing sebanyak 18.5 peratus dan 16.5 peratus, diikuti oleh jualan kenderaan bermotor sebanyak 9.1 peratus, kata laporan itu.
Mohd Uzir berkata jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal bagaimanapun menurun 14.1 peratus.
Pada asas suku tahunan, indeks volum kenderaan bermotor turun 0.9 peratus berbanding suku sebelumnya, kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, peningkatan 5.1 peratus dalam indeks volum perdagangan runcit disebabkan oleh jualan runcit bukan kedai, 26.3 peratus, diikuti oleh jualan runcit kedai bukan khusus (11.1 peratus), jualan runcit bahan api automotif di kedai khusus (11.0 peratus), dan jualan makanan, minuman dan tembakau, 6.6 peratus.
Indeks volum perdagangan runcit meningkat 3.2 peratus berbanding suku sebelumnya.
Sementara itu, dalam bidang perdagangan borong, indeks volum mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 1.2 peratus pada suku pertama 2022 berbanding setahun lalu, disumbangkan oleh bahan mentah pertanian dan haiwan hidup, 8.4 peratus; makanan, minuman dan tembakau, 4.6 peratus; barangan isi rumah 3.3 peratus, dan mesin, peralatan dan bekalan, 2.7 peratus.
Pada perbandingan suku ke suku, indeks volum perdagangan borong menurun 1.5 peratus, kata kenyataan itu.
Dilaraskan mengikut musim, indeks volum perdagangan borong/runcit meningkat 5.2 peratus berbanding suku terakhir 2021.
"Semua subsektor mencatatkan pertumbuhan positif, iaitu perdagangan runcit 5.9 peratus, kenderaan bermotor 5.0 peratus dan perdagangan borong 2.8 peratus," katanya.
-- BERNAMA