Jualan kenderaan melonjak 31 peratus kepada 65,499 unit pada Januari 2024
Bernama
Februari 20, 2024 04:30 MYT
Februari 20, 2024 04:30 MYT
KUALA LUMPUR: Jualan kenderaan baharu Malaysia melonjak 31 peratus kepada 65,499 unit pada Januari tahun ini berbanding 50,168 unit pada bulan yang sama tahun lepas, berikutan jualan kenderaan penumpang yang lebih tinggi, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Persatuan itu dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, jumlah keseluruhan industri bagi Januari 2024 turun 16 peratus berbanding Disember 2023 yang mencatatkan sebanyak 78,398 unit.
"Jualan tinggi pada Disember 2023 itu adalah berikutan syarikat-syarikat yang meningkatkan penghantaran kenderaan bagi memenuhi pesanan yang masih tertunggak, terutamanya bagi syarikat dengan tahun kewangan berakhir Disember 2023 serta pembelian pada harga rendah semasa penghujung tahun," kata MAA.
Sepanjang bulan tersebut, sebanyak 59,394 kenderaan penumpang telah terjual, manakala kenderaan perdagangan sebanyak 6,105 unit.
Sementara itu, sebanyak 76,077 unit kenderaan dikeluarkan pada Januari 2024 berbanding 58,527 unit pada bulan yang sama tahun lepas.
Pengeluaran kenderaan penumpang berjumlah 71,666 unit berbanding 54,663 unit setahun lalu, manakala pengeluaran kenderaan perdagangan sebanyak 4,411 unit berbanding 3,864 unit.
Mengenai unjuran bagi Februari 2024, MAA menjangkakan jualan yang lebih rendah berbanding Januari berikutan hari bekerja yang lebih singkat disebabkan cuti sempena perayaan Tahun Baharu Cina. - BERNAMA