Jualan kenderaan bermotor meningkat 71.1 peratus - Jabatan Perangkaan
Astro Awani
Julai 12, 2021 13:23 MYT
Julai 12, 2021 13:23 MYT
KUALA LUMPUR: Nilai jualan perdagangan borong dan runcit mencatatkan RM108.3 bilion pada Mei 2021, melonjak 28.3 peratus tahun ke tahun.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata subsektor kenderaan bermotor menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu RM4.8 bilion atau 71.1 peratus kepada RM11.6 bilion.
Ujarnya, subsektor lain yang menyumbang kepada peningkatan ini adalah perdagangan borong yang meningkat 31.2 peratus atau RM12.7 bilion kepada RM53.4 bilion selain perdagangan runcit yang turut berkembang 17.3 peratus atau RM6.4 bilion kepada RM43.3 bilion.
"Pertumbuhan 31.2 peratus bagi perdagangan borong pada Mei 2021 adalah disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang melonjak 70.5 peratus atau RM9.0 bilion kepada RM21.7 bilion.
"Ini diikuti oleh jualan borong barangan isi rumah yang meningkat 14.3 peratus atau RM1.2 bilion untuk berada pada RM9.8 bilion.
"Jualan borong jentera, peralatan dan bekalan turut meningkat 27.9 peratus kepada RM4.4 bilion diikuti oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau yang tumbuh 7.4 peratus kepada RM10.5 bilion," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut mengenai subsektor perdagangan runcit, Mohd Uzir berkata kenaikan 17.3 peratus telah disumbangkan oleh jualan barangan keperluan dan juga barangan bukan keperluan terutama jualan runcit di kedai khusus dengan 24.5 peratus kepada RM8.6 bilion.
"Ini diikuti oleh jualan runcit barangan isi rumah dengan 32.2 peratus untuk mencatat RM5.8 bilion dan jualan runcit kelengkapan informasi dan komunikasi yang meningkat 35.6 peratus kepada RM4.8 bilion.
"Pada tempoh yang sama, jualan barangan keperluan terus mencatatkan pertumbuhan positif khususnya dalam jualan runcit bahan api kenderaan yang mencatatkan 26.6 peratus kepada RM3.4 bilion tahun ke tahun.
"Ini diikuti oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan dan jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi yang tumbuh masing-masing 4.0 peratus dan 28.0 peratus," jelasnya.
Menurut beliau, walaupun nilai jualan perdagangan runcit mencatatkan pertumbuhan positif tahun ke tahun, jika dibandingkan dengan April tahun ini, subsektor ini mengalami penguncupan sebanyak 2.2 peratus disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dari 12 Mei hingga 7 Jun 2021.
Jelasnya, sebilangan besar kumpulan di bawah subsektor perdagangan runcit mencatat pertumbuhan negatif terutama dalam jualan runcit di kedai bukan pengkhususan dan jualan runcit di kedai khusus masing-masing -3.2 peratus dan -3.8 peratus.
#nilai jualan perdagangan borong dan runcit
#perdagangan
#borong
#runcit
#subsektor
#kenderaan bermotor
#Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin
#Ketua Perangkawan
#Jabatan Perangkaan Malaysia