Jualan Axia tertinggi 2015, Perodua belum cadang naikkan harga kereta
Norzainah Zainal Abidin
Januari 19, 2016 22:58 MYT
Januari 19, 2016 22:58 MYT
Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) merekodkan satu lagi kejayaan apabila menjual lebih 213,000 unit kereta mereka bagi tahun 2015, mengatasi sasaran sebanyak 200,000 unit.
Peningkatan jualan ini disokong oleh permintaan tinggi untuk model Axia, Myvi dan Alza.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Aminar Rashid Salleh berkata tahun lepas merupakan tahun paling mencabar buat syarikat berikutan pelaksaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
"Ringgit yang semakin melemah ditambah pula dengan kejatuhan teruk harga minyak mentah dunia telah memberikan impak yang ketara kepada ekonomi negara," katanya.
Menurutnya lagi, memandangkan persekitaran ekonomi yang tidak memberangsangakn itu, ramai pelanggan lebih berminat untuk membeli kereta kompak yang lebih mampu milik.
"Perodua amat bertuaah kerana kebanyakan model syarikat iaitu Myvi, Alza dan Axia termasuk dalam kategori berkenaan dan menawarkan nilai wang untuk bakal pembeli," ujarnya.
Tambah Aminar, model Axia paling banyak menjadi pilihan kebanayakan pembeli pada tahun lepas. dengan menyumbang 46.7 peratus dari jumlah jualan Perodua dengan 99,700 unit terjual.
Beliau melihat trend itu akan berterusan pada tahun ini.
Berikutan peningkatan jualan itu, Perodua telah merekodkan jumlah pengeluaran terbesar mereka dengan menghasilkan 228,500 kenderaan pada 2015, peningkatan 16.3 peratus berbanding 2014.
Bagi tahun 2016, Perodua mensasarkan untuk menjual 216,000 unit, yang mana ia merupakan 32 peratus pennguasaan pasaran yang diunjur berkembang sedikit kepada 667,00 unit keseluruhan industri, berdasarkan anggaran mereka.
Aminar berkata demikian semasa mengumumkan prestasi syarikat untuk tahun 2015 di Petaling Jaya.
Sementara itu ketika menjawab pertanyaan pemberita mengenai kenaikan harga untuk model Perodua, Aminar memberitahu syarikat belum berhasrat untuk melaksanakannya buat masa ini biarpun margin keuntungan syarikat semakin mengecil disebabkan tukaran matawang dolar AS dan Yen.
"Perodua akan terus menghasilkan kereta yang berkualiti. Tetapi kami belum buat keputusan lagi (menaikkan harga kami). Kami akan sentiasa memantau keadaan ekonomi semasa dan mungkin akan akan semak semula keputusan berkenaan.
"Tetapi buat masa ini tidak," tegas Aminar.