Jualan asing di Bursa Malaysia susut 24.4 peratus minggu lepas

Bernama
Mac 25, 2024 12:20 MYT
MIDF Research berkata pelabur asing merupakan penjual bersih dari Isnin hingga Rabu, menjual ekuiti bernilai RM757.5 juta. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Jualan asing di Bursa Malaysia meneruskan aliran menurun, menyusut 24.4 peratus kepada RM313.8 juta nilai bersih ekuiti pada minggu lepas berbanding RM415.1 juta minggu sebelumnya.
MIDF Research berkata pelabur asing merupakan penjual bersih dari Isnin hingga Rabu, menjual ekuiti bernilai RM757.5 juta.
Bagaimanapun, mereka beralih kepada pembeli bersih pada Khamis dan Jumaat, memperoleh ekuiti bernilai RM443.7 juta pada Khamis dan Jumaat berikutan sentimen yang bertambah baik selepas Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat menyatakan langkah kepada tiga pengurangan kadar masih berada dalam perancangan.
"Di Malaysia, Bank Negara Malaysia meramalkan pertumbuhan 4.0-5.0 peratus pada 2024, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan peningkatan dalam permintaan luar," katanya dalam Laporan Aliran Dana mingguan terbarunya hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih tertinggi adalah hartanah (RM100.1 juta), tenaga (RM21.6 juta) dan pembinaan (RM14.1 juta).
Sektor dengan aliran keluar asing bersih tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM272.3 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM123.8 juta) dan utiliti (RM93.2 juta).
Sementara itu, institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu keempat berturut-turut dengan RM442.7 juta.
"Mereka membeli bersih RM835.3 juta dari Isnin hingga Rabu dan menjual bersih RM392.6 juta pada Khamis dan Jumaat.
"Peruncit tempatan mengekalkan pendirian dengan jualan bersih mereka pada RM128.8 juta minggu lepas, dengan jualan bersih setiap hari. Mereka berperanan sebagai penjual bersih selama 12 hari dagangan berturut-turut," katanya.
Dari segi penyertaan, purata jumlah dagangan harian meningkat dalam kalangan pelabur runcit dan institusi, masing-masing sebanyak 2.6 peratus dan 3.1 peratus manakala pelabur asing mencatat penurunan sebanyak 29.2 peratus.
-- BERNAMA
#MIDF Research #jualan asing #Bursa Malaysia #Bank Negara Malaysia
;