Jualan 12.12 tiga kali ganda lebih tinggi berbanding 11.11 - Laporan
Shafizan Johari
Disember 13, 2017 21:16 MYT
Disember 13, 2017 21:16 MYT
Kempen Revolusi Online 12.12 dikatakan acara jualan terbesar yang pernah diadakan di Asia Tenggara, tetapi adakah ia jauh berbeza berbanding “Singles Day” pada 11 November lalu?
Laporan yang dikeluarkan oleh portal atas talian, Shopback menyatakan purata perbelanjaan pelangggan pada kempen 12.12 adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding 11.11.
Kajian itu dibuat berdasarkan data pelanggan mereka yang terdiri daripada 3.5 juta pengguna di beberapa negara ASEAN.
“Di peringkat serantau, seorang pelanggan berbelanja RM485 pada 12.12 berbanding hanya RM122 pada 11.11.
“Bagi pasaran Malaysia, secara purata pelanggan di negara ini berbelanja sebanyak RM310. Walaupun lebih rendah berbanding purata serantau, jumlah berkenaan adalah 300 peratus berbanding kempen ‘Singles Day’ pada 11.11,” jelas Shopback dalam satu kenyataan.
Kempen Revolusi Online 12.12 dirintis oleh portal Lazada membabitkan kempen jualan murah bermula 12 hingga 14 Disember.
Sementara "Singles Day" pula dipelopori oleh Alibaba dan dilaporkan sebagai kempen membeli-belah terbesar dunia.
Shopback beroperasi di Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Taiwan dan Filipina.
Ia mempunyai 780,000 pengguna di Malaysia.
#12 12
#Alibaba
#ASEAN
#Asia
#Bitcoin
#Filipina
#Indonesia
#Lazada
#Malaysia
#online
#online revolution
#SHOPBACK
#shopping
#Singapura
#Taiwan
#Thailand