JTI Malaysia diiktiraf Majikan Terbaik Global 2022
Dagang News
Januari 22, 2022 09:30 MYT
Januari 22, 2022 09:30 MYT
KUALA LUMPUR: JT International Berhad (JTI Malaysia) telah diiktiraf sebagai Majikan Terbaik Global 2022 untuk kali ketujuh tahun berturut-turut oleh Top Employers Institute.
Anugerah tersebut mengiktiraf komitmen berterusan syarikat dan pendekatan inovatif terhadap kesaksamaan dan kesejahteraan.
Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada perkara ini ialah Amalan Cara Bekerja Baharu (NWOW) yang diperkenalkan baru-baru ini.
Di samping pengiktirafan ini, JTI juga telah diperakui tiga tahun berturut-turut di semua operasi enam wilayah, antaranya Amerika Utara, Amerika Latin, Eropah, Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika.
Syarikat tersebut kini merupakan majikan terbaik di 66 buah negara di seluruh dunia.
Pengurus Besar JTI Malaysia, Khoo Bee Leng berkata, pengiktirafan tersebut merupakan satu penghormatan kepada syarikat tersebut.
"Pekerja adalah aset terhebat dan kami berhasrat menawarkan mereka persekitaran kerja yang terbaik. Saya sangat berbangga dengan pencapaian ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengarah Rakyat dan Kebudayaan JTI Malaysia, Karen Chong menyatakan dengan memberikan pekerja peluang berkembang adalah penting, selain sokongan optimum bagi memenuhi potensi mereka.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Top Employers Institute, David Plink pula berkata, pihaknya berbesar hati kerana JTI terus mengekalkan tempatnya dalam kalangan elit majikan terbaik peringkat global.
"Mereka harus berbangga dengan status mereka dan komitmen berterusan mereka tunjukkan bagi meningkatkan kesejahteraan semua pekerja di seluruh dunia.
"Kejayaan mereka diperakui dan perlu dicontohi," katanya. - DagangNews.com