JTDL elak jual hasil pertanian guna orang tengah - MAFI

Bernama
Mac 4, 2022 06:21 MYT
Pemasaran secara terus itu dapat memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan hasil pertanian pada harga yang jauh lebih murah. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melihat pemasaran hasil pertanian secara terus kepada pasar raya besar sebagai satu lagi kaedah untuk mengurangkan kebergantungan pengeluar kepada orang tengah.
Timbalan Menteri II MAFI Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata pemasaran secara terus itu dapat memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan hasil pertanian dan produk hiliran pada harga yang jauh lebih murah.
Beliau memberi contoh pelaksanaan Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) antara LPP Kelantan dengan AEON Mall, Kota Bharu yang menawarkan hasil pertanian pada harga ladang yang lebih murah dan berpatutan kepada pengguna iaitu antara lima hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.
"Selepas ini insyaAllah kami akan teruskan lagi program seumpamanya kerana kami tidak berapa gemar dengan 'orang tengah'.
"Jualan terus ke pasar raya adalah kaedah yang paling berkesan, insyaAllah kaedah ini akan jadi lebih kerap, mudah dan apabila sudah jadi serasi saya kira pihak PPK (Pertubuhan Peladang Kawasan) boleh berurusan terus dengan pihak pasar raya dan tentunya harga akan jadi lebih murah tanpa adanya orang tengah atau pihak ketiga," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian JTDL, di sini pada Jumaat.
Turut hadir Pengerusi LPP Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Ketua Pegawai Sumber Manusia Dan Komunikasi Korporat AEON (M) Bhd Dr Kasuma Satria Mat Jadi dan Pengarah LPP Kelantan Mohd Hanifa Awang Su dan Exco Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Hijau dan Alam Sekitar Negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
JTDL melibatkan 22 usahawan peladang diadakan sejak Selasa hingga hari ini (1-5 Mac) menawarkan produk keluaran ahli PPK seperti sayur-sayuran, buah-buahan, daging, ikan air tawar dan produk industri asas tani.
Program lima hari itu menyasarkan nilai jualan lebih RM120,000.
-- BERNAMA
#usahawan #hasil pertanian #pasar raya besar #orang tengah
;