JS-SEZ boleh pacu Johor sebagai enjin pertumbuhan ekonomi selatan - Penyelidikan

Bernama
Januari 8, 2025 16:00 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong ketika sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra semalam. - Bernama
KUALA LUMPUR: Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berpotensi memacu Johor menjadi enjin pertumbuhan selatan untuk ekonomi, menurut RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).
Menerusi nota penyelidikan pada Rabu, bank pelaburan itu menjelaskan aliran pelaburan langsung asing (FDI) baharu dari seluruh rantau ini akan menjana peluang yang bertumpu Johor.
"Kami kekal positif terhadap pasaran meluas dengan ketidaktentuan luaran diimbangi oleh kestabilan domestik dan disokong oleh mudah tunai yang besar, pendapatan korporat yang kukuh dan penilaian menarik.
"Kami yakin JS-SEZ adalah satu cadangan menarik yang mempunyai ciri tersendiri -- dengan Johor menawarkan persekitaran kos operasi lebih rendah, akses kepada tanah, bekalan buruh mahir yang mencukupi, dan infrastruktur lengkap untuk kesalinghubungan, ditambah dengan akses kepada modal dan teknologi di Singapura," tambahnya.
Menurut RHB, pemeteraian perjanjian JS-SEZ akan melonjakkan keyakinan pasaran apabila komitmen dua hala itu mewakili tahap kemajuan dan kerjasama yang belum pernah dicapai, manakala hartanah di Iskandar Malaysia diunjurkan mengalami fasa pertumbuhan berbilang tahun.
"Aliran masuk FDI, pembukaan pejabat baharu oleh institusi kewangan tempatan dan asing di Forest City, serta peningkatan bilangan pelancong dari Singapura, dijangka memberikan limpahan positif terhadap sektor hartanah," tambahnya.
Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) turut senada dengan menjangkakan sektor hartanah memperoleh manfaat positif memandangkan pemeteraian JS-SEZ mengesahkan pelaksanaan inisiatif kerajaan yang berterusan.
"Ini adalah pencapaian terbesar selepas pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) 2023, yang pada pandangan kami, sedang berjalan dengan baik," katanya.
Maybank IB juga menjelaskan perjanjian JS-SEZ menandakan era baharu bagi peluang pelaburan serta kepimpinan dan komitmen kedua-dua negara, yang menjadi tonggak asas bagi zon ekonomi khas itu.
Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) pula menjelaskan gelombang pertama pelaburan mungkin datang dari Singapura memandangkan kedekatannya dengan JS-SEZ.
Bank pelaburan itu menambah, JS-SEZ menyasar untuk mengalu-alukan 100 projek dalam tempoh 10 tahun dan telah menumpukan kepada 50 projek dalam tempoh lima tahun.
"Di peringkat Malaysia, pelaburan dari Singapura dalam sektor pembuatan, secara purata, telah menyaksikan kira-kira 100 pelaburan yang diluluskan setiap tahun sepanjang enam tahun lepas,
"Secara purata, setiap pelaburan yang dikira adalah bernilai sekitar RM150 juta, walaupun ini tidak seharusnya mencerminkan pelaburan yang disasarkan dalam JS-SEZ, iaitu yang bernilai tinggi," tambahnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar lbrahim dan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong pada Selasa menyaksikan pertukaran perjanjian bersama antara Malaysia dan Singapura mengenai JS-SEZ selain enam memorandum persefahaman (MOU) dan satu surat niat (LOI).
-- BERNAMA
#Zon Ekonomi Khas #Johor Singapura #JS-SEZ #ekonomi malaysia
;