Johor perlu anjakan belanjawan lebih efektif
Mahdzir Ibrahim
Ogos 9, 2019 08:30 MYT
Ogos 9, 2019 08:30 MYT
MUSIM belanjawan hampir tiba.
Dalam setiap belanjawan baik di peringkat negeri mahupun persekutuan, satu cadangan belanjawan akan dibentangkan meliputi anggaran hasil, perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan bagi tahun berikutnya.
Belanjawan juga akan dirangka sama ada surplus (lebihan) atau defisit (perbelanjaan melebihi pendapatan) atau berimbang.
Masing-masing mempunyai strategi bagaimana belanjawan surplus, defisit atau berimbang ini dijustifikasikan.
Ketika belanjawan inilah, dasar-dasar baharu sesuai diperkenalkan.
Kos program
Dalam pengalaman saya terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam penyediaan belanjawan di peringkat negeri baik di Selangor dan di Johor, program-program untuk rakyat yang dirangka tidak melibatkan kos operasi perlaksanaan sesuatu program.
Difahamkan, inilah garis panduan yang ditetapkan sejak sekian lama. Bagi pelaksana seperti jabatan kerajaan, kos ini akan dirangka dalam peruntukan perbelanjaan pengurusan jabatan tersebut. Ia tidak dikira sebagai kos operasi program. Jelas.
Namun, bagi program belanjawan yang diamanahkan kepada sesuatu agensi pelaksana seperti syarikat berkaitan kerajaan (Government Link Company – GLC).
Maka kos operasi ini diambil kira sebagai OPEX (Operational Expenditure) oleh entiti terbabit.
Ada beberapa kes, kos operasi untuk menjalankan sesuatu program rakyat itu ditanggung sepenuhnya oleh agensi sebagai CSR (Corporate Responsibility – tanggungjawab korporat) mereka.
Ini tidak semestinya baik kepada syarikat dan mereka perlu menyesuaikan operasi syarikat berdasarkan keperluan spesifik program tersebut.
Selain daripada itu, sesetengah agensi mengenakan fi atau yuran pengurusan yang agak tinggi ke atas kos perlaksanaan program tersebut. Bererti, kos operasi dikenakan kepada kerajaan untuk melaksanakan program tersebut.
Kos ini boleh meningkat jika ia melibatkan keperluan tambahan dalam aspek tenaga kerja dan sistem sokongan yang melibatkan sistem berteknologi atau IT.
Impak dari situasi ini, kos yang dirangka didalam belanjawan itu akan berubah, maka kesan rantaiannya ialah kepada kualiti dan kuantiti peserta (rakyat) yang mendapat manfaat dari program itu.
Sayugia diharapkan agar kerajaan menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sebagai contoh, dapat menitikberatkan perkara ini dan satu garis panduan yang jelas dapat dikemaskini agar cadangan-cadangan belanjawan yang dikemukakan samada di peringkat exco dan agensi dapat memberi rangka dan angka yang benar-benar munasabah dalam pembentangan belanjawan.
Reformasi Sistem Pengurusan
Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian ialah kos penambahbaikkan pada sistem pemantauan. Rata-rata jabatan atau agensi pelaksana hanya menumpukan kepada pelaksanaan program.
Tugas-tugas selepas program tidak ada, tugas memantau hasil penglibatan peserta, tugas khidmat selepas pemberian geran sebagai contoh, tidak ada.
Kerana ia memerlukan kos, dan kos itu tidak dirangka bersama dalam belanjawan tersebut.
Fokus utama dalam mana-mana belanjawan bukan sahaja soal ‘nak buat benda baharu dan banyak kepada rakyat’.
Namun, fokus yang lebih utama ialah bagaimana rangka kerja dari sistem pentadbiran kerajaan lama (BN) itu, dapat ditambah baik dalam memastikan keseluruhan sistem pentadbiran yang baharu (PH) itu menjadi lebih cekap, pantas dan efektif.
Apa-apa idea baharu tidak akan memberi kesan jika sistemnya tidak efektif.
Sistem KPI atau Key Performance Index untuk mengukur dan memantau sejuah mana prestasi perlaksanaan sesuatu program yang dihasilkan daripada belanjawan, belum memadai.
Sistem pemantauan ini lebih menfokus kepada tahap pencapaian dalam bentuk kuantitatif, iaitu peratusan atau angka.
Realitinya, setiap tahun Jabatan Audit Negara akan sentiasa melaporkan bahawa masih terdapat banyak kelemahan dalam aspek sistem pemantauan dan pengutakuasaan (enforcement).
Jabatan Audit Negara juga akan menyertakan laporan ini bersama saranan-saranannya.
Laporan Audit pada asasnya hanya akan memfokus dalam aspek integriti, kecekapan dan SOP (Standard Operating Procedure).
Namun, ia tidak meliputi soal yang berkaitan sistem pengurusan data dan statistik asas di peringkat dalaman jabatan atau agensi.
Penambahbaikan kepada kaedah pemantauan yang sistematik ini mungkin memerlukan kos untuk dilaksanakan.
Kos-kos ini mungkin memerlukan suatu dasar baharu yang dirangka dalam belanjawan pernbelanjaan mengurus.
Ia mungkin meliputi pengambilan kakitangan berkemahiran dalam bidang sistem pemantauan dan pengurusan pengkalan data yang cekap dan efektif. Bukan sekadar bertugas untuk mengemas kini laman sesawang jabatan.
Justeru, perkara ini perlu disemak dengan teliti kerana ia amat penting dalam memastikan prestasi jabatan dan agensi pelaksana terus cekap dalam mengurus dan melaksanakan program yang digariskan di dalam belanjawan secara pantas dan sistematik.
Belanjawan surplus, defisit atau berimbang hanyalah strategi pada satu-satu masa dan bergantung kepada keadaan ekonomi semasa.
Namun, setiap strategi belanjawan itu sentiasa berteraskan prinsip-prinsip yang dinamik yang sentiasa memerlukan penambahbaikan.
Johor memerlukan satu anjakan belanjawan yang lebih efektif.
Penambahbaikan pada keseluruhan sistem, itulah REFORMASI.
* Mahdzir Ibrahim ialah Pegawai Dasar Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor.
** Kenyataan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.