Johor penyumbang terbesar KDNK sektor pertanian negara - Onn Hafiz
Bernama
Februari 8, 2025 21:13 MYT
Februari 8, 2025 21:13 MYT
Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan terus komited memperkasakan Johor sebagai 'bakul makanan' negara dan juga di peringkat antarabangsa. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Johor menjadi penyumbang terbesar pertanian negara setakat ini dengan sumbangan RM17.21 bilion atau 17.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sektor berkenaan, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus komited memperkasakan Johor sebagai 'bakul makanan' negara dan juga di peringkat antarabangsa yang akan direalisasikan dengan meningkatkan pengeluaran produk agromakanan serta merancakkan aktiviti eksport hasil pertanian ke pasaran global.
Onn Hafiz berkata pertemuan dengan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup telah diadakan bagi membincangkan hala tuju pembangunan sektor pertanian serta keterjaminan makanan di Johor.
"Kita juga telah memperuntukkan RM18.48 juta tahun ini untuk pelbagai inisiatif pembangunan pertanian melibatkan kerjasama dengan agensi utama termasuk Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Johor Biotech, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan FarmByte.
"Kerajaan negeri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang telah memperuntukkan lebih RM21 juta dalam Belanjawan 2025 melalui KPKM kepada Johor bagi mempergiat usaha dan program berkaitan keterjaminan makanan," katanya.
Pada masa sama, beliau yakin usaha berterusan ini bukan sahaja akan menjadikan Johor sebagai hab pengeluaran agromakanan utama, malah mampu meningkatkan pendapatan petani dan pengusaha, serta memastikan keterjaminan makanan yang lebih baik untuk Bangsa Johor dan negara, dengan kerjasama dan sokongan KPKM.
-- BERNAMA