Johor kekal penyumbang terbesar jumlah perdagangan negara, raih RM563.31 bilion sehingga Sept

Bernama
November 8, 2023 20:15 MYT
Lee berkata Johor mencatatkan sebanyak RM605.98 bilion jumlah perdagangan bagi tempoh sama tahun lepas. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Johor kekal sebagai penyumbang terbesar kepada jumlah perdagangan negara dengan sebanyak RM563.31 bilion bagi tempoh Januari sehingga September tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor Lee Ting Han berkata nilai eksport yang dicatatkan sebanyak RM314.06 bilion dan import pula RM249.25 bilion.
Beliau berkata antara produk eksport utama adalah petroleum (petroleum bertapis), papan litar bersepadu serta elektrik dan elektronik.
"Produk ini merupakan antara kekuatan Johor sebab kita boleh menampung pelbagai aktiviti ekonomi berbanding sebahagian negeri yang tertumpu kepada sesetengah produk," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Eksport Johor 2023 di sini pada Rabu.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Abu Bakar Yusof.
Lee berkata Johor mencatatkan sebanyak RM605.98 bilion jumlah perdagangan bagi tempoh sama tahun lepas.
Menurutnya setakat ini kerajaan negeri tidak meletakkan sasaran jumlah perdagangan bagi tahun ini berikutan kelembapan ekonomi global, namun beliau optimis bahawa Johor mampu mengekalkan kedudukan itu.
"Untuk kita mencapai jumlah perdagangan seperti tahun lepas agak mencabar kerana pasaran global agak sukar (akibat kelembapan ekonomi), tetapi kita harap yang terbaik," katanya.
-- BERNAMA
#Johor #penyumbang terbesar #jumlah perdagangan negara #Matrade