Johor jangka raih pelaburan asing baharu cecah RM15 bilion

Siti Nur Aqilla Omar
Februari 12, 2023 22:04 MYT
Onn Hafiz berkata ia hasil pertemuan dengan beberapa wakil syarikat antarabangsa dalam lawatan rasmi selama tiga hari ke Singapura, baru-baru ini. - Gambar/ FB Onn Hafiz Ghazi
JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor dijangka meraih beberapa pelaburan asing baharu bernilai sehingga RM15 bilion.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ia hasil pertemuan dengan beberapa wakil syarikat antarabangsa dalam lawatan rasmi selama tiga hari ke Singapura, baru-baru ini.
Katanya menerusi hantaran di Facebooknya, pelaburan itu juga mampu memberi peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat Johor.
"Syukur Alhamdulillah, saya telah memulakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Singapura, bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan baik antara negara republik itu dengan negeri Johor.
"Saya juga telah mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat antarabangsa yang berpengkalan di Singapura, termasuklah AirTrunk, sebuah syarikat pusat data skala besar yang terbesar di Asia Pasifik dan Jepun; dan juga syarikat Wilhelmsen, salah satu kumpulan maritim terkemuka di peringkat global.
"Selain mereka, saya juga telah berjumpa dengan beberapa lagi pelabur berpotensi dari lain-lain negara.
"Insya-Allah, nilai potensi pelaburan yang boleh dicapai hasil pertemuan ini adalah sekitar RM10 bilion ke RM15 bilion," katanya.
Jelas Onn Hafiz, kesemua usaha itu menunjukkan Johor terus kekal menjadi destinasi pilihan utama bagi pemain-pemain industri bertaraf global.
"Insya-Allah, selain ribuan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk bangsa Johor, limpahan ekonomi dan pembangunan yang bakal dijana hasil pelaburan ini, sudah tentu akan membawa lebih kemakmuran kepada rakyat di negeri ini.
"Kerajaan negeri dengan bantuan kerajaan persekutuan komited untuk menjadi pemudah cara, termasuk daripada segi penyediaan utiliti dan infrastruktur, sehinggalah kepada insentif cukai, bagi menghasilkan suasana perniagaan yang lebih mesra pelabur dari serata dunia," katanya.
#Johor #pelaburan asing #Singapura #onn hafiz ghazi
;