Johor Halal Park cipta peluang pekerjaan bagi lepasan graduan
Malik Ridhwan
Februari 18, 2016 07:48 MYT
Februari 18, 2016 07:48 MYT
Pembangunan Johor Halal Park di koridor selatan Malaysia akan memberi manfaat kepada rakyat negeri Johor terutamanya dari segi peluang pekerjaan.
Projek bersama antara UMLand dan kerajaan negeri Johor melalui J-Biotech Holdings itu bakal dibangunkan di tanah seluas 350 ekar di Pasir Gudang, Johor.
Ketua Pegawai Eksekutif J-Biotech Wan Amir Jeffery berkata, taman halal berkenaan akan memerlukan pekerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.
“Kami menawarkan akses kepada pasaran. Gudang yang pada asasnya akan menjadi hab makanan dan bahan mudah rosak akan memerlukan orang yang mempunyai latar belakang pemprosesan makanan, dan juga latar belakang saintifik.
“Kami akan menambah nilai kepada pengeluaran makanan huluan dan pengeluaran bahan mentah dan menambahkan nilai supaya meningkatkan nilai produk terutamanya dari segi barangan halal dibawa ke luar negara,” katanya selepas upacara menandatangani perjanjian usaha sama antara J-Biotech dan Tentu Teguh Sdn Bhd (anak syarikat milik penuh UMLand) bagi pembangunan Johor Halal Park di sini pada Khamis.
Menurutnya, peluang luas yang dibuka juga dijangka akan menarik lepasan graduan untuk bekerja dalam sektor ini.
“Dari segi pewujudan pekerjaan, ini akan membolehkan rakyat Johor, terutamanya lepasan graduan dari UTM, UTHM dan sebagainya untuk melihat ke hadapan yang mempunyai pekerjaan di kawasan itu yang dibina khusus untuk industri berasaskan bio dan juga halal,” katanya.
Tambahnya, projek sebegini juga akan memberi peluang kepada industri kecil dan sederhana (PKS) sehingga kepada syarikat-syarikat konglomerat dalam sektor makanan khususnya meneruskan kelangsungan perniagaan.
Johor Halal Park dibangunkan dalam tiga fasa dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.5 bilion.
Ia bakal mentransformasikan kawasan Cahaya Baru menjadi sebuah pembangunan industri bio-halal bersepadu di Johor.
Fasa pertama berkeluasan 50 ekar dijangka siap pada April 2017.