Johor cadang SFZ Forest City dilaksana bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura

Siti Nur Aqilla Omar
Ogos 12, 2024 15:30 MYT
Ting Han berkata, perkara itu telah dibincangkan di peringkat negeri dan akan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa JS-SEZ. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor bercadang untuk meletakkan inisiatif Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City di bawah inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, perkara itu telah dibincangkan di peringkat negeri dan akan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa JS-SEZ.
Katanya berdasarkan pelan induk Forest City yang dilancar pada 2016, matlamatnya adalah bagi membangunkan kawasan itu sebagai zon integrasi perkhidmatan penjagaan kesihatan, pelancongan, pendidikan dan juga hartanah.
"Ada perancangan menjadikan Forest City sebagai zon bebas cukai pada waktu itu, dan kini pindaan telah dibuat dengan bantuan kerajaan Pusat. Langkah itu bakal menjadikan Pulau Satu Forest City sebagai pulau bebas cukai.
"Pengumuman berhubung pelaksanaan SFZ Forest City ini dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kira-kira setahun lalu dan pelbagai usaha telah digerakkan sejak itu," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Forest City di sini, hari ini.
Menurut Ting Han, Forest City dipilih bagi pelaksanaan SFZ berdasarkan beberapa faktor termasuk lokasi strategik selain perancangan bersesuaian dengan naratif asal pembangunan kawasan berkenaan.
"Satu sektor baharu yang ditambah dalam pembangunan Forest City adalah sektor kewangan di mana ia selari dengan infrastruktur yang dibangunkan di situ dan itu antara sebab kita cadangkan SFZ di Forest City dan kini perancangan itu sedang giat dijalankan.
"Lokasi berhampiran dengan Singapura yang merupakan hab kewangan dan logistik antarabangsa rantau ini adalah kelebihan dan peluang buat Forest City menjadi pelengkap kepada republik itu.
"Fokus kita adalah membantu pelabur melabur ke SFZ Forest City, justeru kita perlu perkukuh perkara asas seperti tenaga kerja berkemahiran dan kesalinghubungan antara kawasan," katanya.
Mengulas lanjut Ting Han memaklumkan, majoriti industri kewangan Johor masih bersifat konvensional dan kerajaan negeri komited meningkatkan lanskap ekonomi itu dengan melibatkan penyertaan industri seperti sistem perbankan moden.
Katanya langkah itu akan membolehkan Johor menjadi pelengkap kepada industri kewangan di Singapura sekali gus membolehkan kerajaan negeri membangunkan industri ekonomi baharu di Johor melalui SFZ Forest City.
"Kita jangka lebih banyak maklumat berkenaan pemberian insentif untuk SFZ akan diumum menjelang akhir bulan ini iaitu sebelum perjanjian JS-SEZ ditandatangani Malaysia dan Singapura.
"Kita juga cadangkan SFZ Forest City menjadi sebahagian inisiatif JS-SEZ, jadi apa sahaja insentif dinikmati melalui JS-SEZ akan turut dinikmati dengan SFZ.
"Jika langkah ini berjaya dibuat, ia akan memperkukuh hubungan kedua-dua pihak sekali gus membolehkan Malaysia mengadakan lebih banyak kerjasama ekonomi dengan Singapura pada masa depan.
"Majoriti mereka bertanya tentang insentif dan produk bersesuaian yang boleh ditawarkan, jadi kita juga sedang membangunkan sektor khas yang unik untuk mereka di Forest City.
"Kita mahu syarikat antarabangsa jadikan Forest City sebagai lokasi pelancaran produk bagi menembusi pasaran antarabangsa," jelasnya sambil menambah apabila pengumuman insentif dibuat, syarikat kewangan antarabangsa dijangka akan mula melabur masuk.
#SFZ Forest City #JS-SEZ #Zon Ekonomi Khas #Johor #Singapura
;