JobStreet.com: Ekonomi lembap bukan penghalang syarikat ambil pekerja
Bernama
Ogos 18, 2016 14:39 MYT
Ogos 18, 2016 14:39 MYT
Satu kaji selidik oleh JobStreet.com, mendedahkan walaupun keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini ia tidak menjejaskan syarikat Malaysia daripada mengambil pekerja baharu.
Pengurus Negaranya Chook Yuh Yng berkata kaji selidik itu yang membuat penyelidikan tentang pasaran pekerjaan bagi suku ketiga tahun ini menunjukkan 50 peratus responden masih merancang menambah jumlah kakitangan mereka.
"Hasrat mengupah pekerja oleh majikan masih kelihatan kukuh meskipun keadaan ekonomi global yang tidak menentu dan kelemahan ringgit," katanya semasa acara perangkaian sumber manusia di sini, hari ini.
Beliau berkata majikan daripada sektor perbankan, kejuruteraan dan perniagaan runcit masih berminat mengambil pekerja manakala 40 peratus responden memutuskan untuk mengekalkan kakitangan mereka manakala 36 peratus responden mahu mengurangkan tenaga kerja mereka.
Bagaimanapun, Chook berkata pasaran pekerjaan Malaysia dalam tempoh separuh pertama tahun ini turun lima peratus, berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kerana keadaan ekonomi secara umumnya masih mencabar memandangkan kejatuhan harga minyak global dan peningkatan inflasi dalam negara.
"Meskipun penurunan pasaran pekerjaan, kami masih memiliki lebih 20,000 kekosongan jawatan yang diposkan di laman web kami. Pencari pekerjaan harus terus positif dan memastikan profil JobStreet.com mereka dikemas kini agar mereka tidak terlepas peluang," katanya.
Industri pembuatan masih menjadi sektor utama yang menawarkan pekerjaan diikuti perbankan, pembinaan, teknologi maklumat dan runcit.
Mengenai gaji, Chook berkata ia berada dalam jajaran antara RM2,100 dan RM2,500 bagi pelajar lepasan ijazah manakala bagi kakitangan hampir RM3,000.
Beliau menasihatkan lepasan ijazah agar lebih realistik dalam mencari pekerjaan pertama mereka dan menilai peluang apabila ia muncul.
"Mengapa masih tidak bekerja apabila terdapat banyak peluang pekerjaan dalam pasaran. Bekerja dahulu di samping anda terus mencari peluang yang lebih baik," katanya.
JobStreet.com adalah syarikat menawarkan pekerjaan dalam talian utama yang merangkumi pasaran pekerjaan di Malaysia, Singapura, Filipina, Indonesia dan Vietnam.
Ketika ini ia menyediakan perkhidmatan kepada lebih 230,000 majikan korporat dan lebih 15 juta pencari pekerjaan dalam pangkalan datanya.