JOHOR BAHRU: Jiwa SME sebuah platform bagi memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui peluang perkongsian pengetahuan serta strategi bakal membuka tirai esok.

Jelajah yang dimulakan di AEON Mall Tebrau City, Johor Bahru akan melibatkan lebih 22 reruai seterusnya membuka peluang orang ramai mendapatkan produk serta perkhidmatan tempatan.

Acara selama dua hari itu juga bakal menampilkan lapan pakar hebat yang akan berkongsi pengalaman dan bagaimana dalam mendepani cabaran ekonomi mendatang.

Antaranya ialah Ketua Unifi Business Negeri Johor, Fauzah Danila; Ketua Pegawai Eksekutif Doluvo Sdn Bhd (Pops Malaysa Ice Bars), Yasmin Karim; Pengarah Urusan CHIP, Zakwan Sharif; dan Pengarah Negeri Wilayah Selatan MATRADE, Zamzuri Mohamed.

Oleh itu, ia merupakan peluang emas buat para usahawan tempatan mendapatkan ilmu berharga bagi memajukan perniagaan melalui sesi pentas niaga dan dialog inspirasi usahawan tersebut.

Jiwa SME anjuran Astro AWANI ini juga dilihat mampu menaikkan lagi penjenamaan bisnes tempatan melalui media arus perdana seiring dengan usaha memacu transformasi PMKS.

xxx

Turut disediakan pelbagai reruai termasuk daripada penaja utama UNIFI Business, penaja kenderaan PROTON, MATRADE, Tiktok Shop selain persembahan daripada artis tempatan seperti Yonny Boii, Fahimi Rahmat.

Jadi jangan lepaskan peluang anda untuk turut serta ke Jiwa SME 2024 pada 6 dan 7 Jun ini di AEON Mall Tebrau City, Johor Bahru kerana pelbagai perkongsian menarik dan cabutan bertuah menanti anda.