JIWA SME: Mencipta empayar dalam dunia minyak wangi

Nina Rozman
Oktober 14, 2024 12:24 MYT
Yaya Empire Perfume, yang bermula dengan hanya 10 botol minyak wangi dan kini menjadi pilihan utama golongan suri rumah untuk menjana pendapatan. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: DALAM dunia perniagaan yang penuh cabaran, kejayaan sering bermula daripada langkah kecil.
Kata-kata itu menjadi inspirasi pengasas Yaya Empire Perfume, Nadia Mat Isa, atau lebih dikenali sebagai Yaya, dalam usaha membina empayar dalam industri minyak wangi.
Bermula dengan hanya 10 botol minyak di awal penubuhannya pada tahun 2016, Yaya Empire Perfume kini berkembang pesat, menarik perhatian ramai, terutama golongan suri rumah yang ingin menjana pendapatan tambahan.
"Pada peringkat awal, saya bermula secara bersendirian bersama suami dan fokus utama ketika itu adalah jualan runcit kepada pengguna akhir.
"Namun, bermula tahun 2020, kami menerima permintaan untuk bekerjasama dengan pasukan usahawan terdiri daripada pemimpin (leader), ketua pemimpin (master leader), ketua stokis (master stockist), dan stokis.
"Cabaran utama saya adalah memimpin mereka untuk berniaga secara berterusan kerana saya tidak mempunyai pengetahuan dalam menguruskan pasukan pada waktu itu," kata Yaya.
Menurut Yaya, tenaga kerja terlatih juga memainkan peranan penting dalam kejayaan perniagaan.
Proses melatih tenaga kerja dari peringkat asas hingga mahir memerlukan masa dan tenaga, terutama apabila syarikat menyasarkan pengeluaran produk kepada 20,000 hingga ke 30,000 unit.
Antara isu lain yang dihadapi syarikat adalah lambakan produk tiruan yang menimbulkan kerisauan dalam kalangan pengguna, sekali gus memberi kesan kepada sistem stokis dan ejen,
Katanya, isu ini memerlukan kerjasama dan strategi lebih baik untuk memastikan integriti jenama.
Di samping itu, rancangan jangka panjangnya termasuk pengembangan platform Yaya Empire sebagai sumber pendapatan utama bagi isi rumah.
"Kami mempunyai lebih kurang 1,500 orang ejen dengan 80 peratus daripadanya ialah suri rumah yang menjadikan perniagaan Yaya Empire sebagai punca pendapatan utama mereka.
"Kami merancang untuk melahirkan lebih ramai usahawan dan membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda, graduan mahir, dan intelektual untuk bersama-sama membangunkan empayar ini mengikut hala tuju blueprint lima hingga 10 tahun akan datang," ulas Yaya.
Yaya Empire Perfume bukan sekadar perniagaan minyak wangi, tetapi sebuah perjalanan yang dipenuhi dengan pelajaran, cabaran, dan kejayaan.
Dengan visi yang jelas dan semangat untuk membantu, pengasasnya terus berusaha untuk membina empayar yang akan memberi manfaat kepada ramai orang.
Jiwa SME: Mencipta empayar dalam dunia minyak wangi
#usahawan #Minyak Wangi #Yaya Empire Perfume #Nadia Mat Isa
;