Jiwa SME: Google-AWANI terus kerjasama, fokus kesejahteraan
Astro Awani
Oktober 1, 2021 08:22 MYT
Oktober 1, 2021 08:22 MYT
KUALA LUMPUR: Google dan Astro AWANI meneruskan kerjasama Jiwa SME Google AWANI untuk fasa kedua yang akan menampilkan kandungan yang lebih pelbagai serta holistik.
Kali ini kedua entiti ini turut berikan fokus kepada keselamatan dan kesejahteraan pengguna dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di dalam talian.
Menurut Pengarah Urusan Google Malaysia, Marc Woo, nilai tambah kandungan ini selari dengan bulan kesedaran keselamatan siber setiap Oktober.
"Kami berbangga untuk teruskan kerjasama Jiwa SME Google AWANI dengan Astro AWANI. Sebelum ini kami memfokuskan kepada memperkasakan PMKS dalam ekonomi digital.
"Dengan lebih ramai warga Malaysia yang meluangkan masa di atas talian, untuk kerja, belajar atau membeli barangan, kami ingin anda kekal selamat," katanya.
Menurut Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail, sebagai platform berita paling dipercayai di Malaysia, Astro AWANI ingin terus memberikan panduan terbaik keselamatan dan kesejahteraan digital.
"Astro AWANI teruja untuk meneruskan kerjasama bersama Google. Ini terutama ketika aktiviti pembelanjaran, bekerja dan beli belah di dalam talian menjadi norma baharu.
"Kami berharap kerjasama Jiwa SME Google AWANI ini akan terus berikan pengalaman dan panduan terbaik kepada pengguna dan tentunya perusahaan kecil dan sederhana untuk terus meningkatkan kehadiran digital mereka," katanya.
Antara kandungan yang akan dikongsi termasuk cara untuk pastikan kanak-kanak selamat di dalam talian, panduan untuk PKS dan pengguna menjalankan transaksi selamat dan kesejahteraan ketika bekerja dari rumah.
Kandungan ini akan disiarkan di semua platform Astro AWANI pada bulan Oktober dan November.
Pada fasa pertama kerjasama Jiwa SME, Google dan Astro AWANI akan menerbitkan kandungan untuk meningkatkan kehadiran PKS yang terkesan akibat COVID-19 di dalam talian.