Jiwa SME 2024: Penamat gemilang, pembuka jalan kejayaan baharu
Amzar Alif
Oktober 28, 2024 21:45 MYT
Oktober 28, 2024 21:45 MYT
SHAH ALAM: Jelajah Jiwa SME 2024 menutup tirai dengan jayanya tahun ini selepas melalui perjalanan penuh bermakna dari Johor Bahru, meneruskan program ke Ipoh, dan akhirnya tiba di Shah Alam.
Program anjuran Astro AWANI bersama penaja utama Unifi Business ini menjadi platform penting dalam memacu semangat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan untuk terus berkembang dan memperkenalkan produk mereka kepada pasaran lebih luas.
Sepanjang jelajah ini, peserta mendapat peluang menyertai pelbagai sesi pembelajaran dan rangkaian perniagaan melalui sesi perkongsian Pentas Niaga daripada tokoh usahawan, selain diberi peluang untuk mempersembahkan idea perniagaan mereka dalam sesi Pentas Jual.
Menurut Penolong Kanan Naib Presiden Perkhidmatan Kandungan Astro AWANI, Zaiful Ariffin, sambutan terhadap edisi jelajah tahun ini mencatatkan pencapaian terbaik, mengatasi kejayaan tahun sebelumnya.
“Saya sangat bersyukur dengan sambutan baik yang diberikan oleh PMKS terlibat, bukan sahaja untuk menjual tetapi yang penting adalah untuk menimba ilmu tentang bagaimana meneruskan perniagaan menerusi digital dan bagaimana untuk berfikiran lebih global.
“Kita akan teruskan lagi tahun hadapan dan pastikan PMKS di luar sana terus bersama dengan kita kerana ini adalah satu pentas yang penting untuk mereka,” ujarnya.
Kemuncak acara ini menyaksikan usahawan produk biskut kesihatan jenama Becalm berjaya memenangi Penyertaan Terbaik bagi sesi pitching Pentas Jual dan seterusnya memenangi pakej media bernilai RM55,600.
Pengarah Urusan BeCalm, Maisarah Sani berkata kemenangan tersebut bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada inovasi BeCalm, tetapi juga membuka peluang lebih besar untuk memperluaskan penjenamaan dan meningkatkan visibiliti produk di pasaran.
“Saya percaya yang membawa kemenangan saya adalah the honesty of the product itself kerana produk ini bukan sahaja unik tetapi mampu memberi manfaat kepada ramai orang.
“Ia bukan sekadar produk biasa tetapi menawarkan nilai tinggi kepada mereka yang mengalami masalah kesihatan moden seperti tekanan, keresahan, kemurungan, obesiti, dan insomnia.
Sementara itu, kategori Penyertaan Berpotensi dimenangi oleh dua produk iaitu D.Masking yang mengeksport durian Musang King premium dalam pelbagai bentuk dan produk daripada Salleh Food yang mengeluarkan snek citarasa rakyat Malaysia.
Astro AWANI menerusi Jelajah Jiwa SME terus membuktikan komitmen dalam menyokong pertumbuhan PMKS melalui usaha kolaboratif, bimbingan profesional, dan akses kepada pasaran yang lebih luas.
Dengan lima lokasi yang akan dijelajahi untuk tahun hadapan, pastinya lebih banyak inspirasi dan kisah kejayaan bakal dikongsi, memastikan setiap langkah yang diambil menjadi batu loncatan menuju masa depan yang lebih gemilang buat PMKS di seluruh negara.