Jiwa SME 2023: Platform bantu PMKS terus kekal relevan - Pengunjung
Ehsan A Marisah
Januari 15, 2023 17:43 MYT
Januari 15, 2023 17:43 MYT
KUALA LUMPUR: Jiwa SME 2023 yang dianjurkan Astro AWANI menerusi cabang acara perniagaan dan digitalnya, LINC@Astro AWANI sejak Jumaat lalu melabuhkan tirainya hari ini.
Beberapa pengunjung yang ditemui Astro AWANI berkata, inisiatif yang digerakkan itu bukan sahaja mampu memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), malah membantu mereka untuk terus kekal relevan serta bangkit dalam tempoh pemulihan pasca pademik COVID-19.
Pengunjung, Nurul Atiqa berkata, pelbagai input menarik dan pengalaman berharga tentang perniagaan boleh dipelajari secara langsung daripada pengasas dan usahawan tempatan.
“Saya rasa inisiatif sebegini sangat membantu usahawan dan utamanya bagi saya dapat banyak input dan pengalaman daripada pengasas dan usahawan tempatan.
“Banyak yang boleh dipelajari sama ada jatuh bangun mereka, tentang keberanian malah kekuatan untuk membangunkan perniagaan.
Selain itu, acara ini juga boleh memberi pendedahan kepada pelbagai jenama perniagaan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Ahad.
Menurut pengunjung, Wan Ahmad Azlan Wan Rozali, inisiatif tersebut juga mampu memberikan inspirasi kepada orang ramai yang ingin menceburi bidang perniagaan, selain mengurus perniagaan dengan betul.
“Saya rasa sangat bagus yang mana bagi usahawan muda atau mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan, mereka boleh mengambil inspirasi untuk mempelajari tentang perniagaan dari segi pengurusan termasuk kewangan.
“Ini secara tidak langsung dapat memastikan perniagaan yang diceburi berada pada landasan yang betul,” katanya.
Pengunjung, Muzammil Asyraf Ahmad Sabirin pula berpandangan, acara itu juga sebagai platform terbaik memberi pendedahan secara meluas kepada umum, sekali gus melonjakkan jenama tempatan.
"Program yang seperti ini perlu diteruskan sebab kita ada banyak PMKS yang tidak menerima pendedahan sewajarnya.
“Orang ramai juga boleh datang dan mengenali produk-produk tempatan serta memberi sokongan kepada mereka,” ujarnya.
Sementara itu, Pemilik Servis Urus Media Sosial (SUMO), Sam Bahren Ali berkata, ruang dan peluang yang disediakan Astro AWANI amat berharga kepada PMKS.
"Saya sangat berterima kasih kepada Astro AWANI kerana menganjurkan acara berkonsepkan usahawan, kerana susah kita nak cari acara seperti ini sekarang.
“Sangat bagus terutama untuk PMKS kita memang mencari ruang dan peluang seprti ini agar adanya ruang berkolaborasi dan bertukar pendapat,” katanya.
Untuk rekod, persidangan sulung Jiwa SME dianjurkan secara fizikal pada 2019, kemudian beralih sepenuhnya secara virtual.
Kini, acara tersebut diteruskan sekali lagi secara fizikal dan terbuka kepada semua usahawan serta rakyat untuk menyertainya.