Jemaah belanja RM337j berbeli-belah di Makkah
Razak Chik
Oktober 21, 2013 08:37 MYT
Oktober 21, 2013 08:37 MYT
KEBANJIRAN seramai hampir 2 juta jemaah haji di Tanah Suci telah menghasilkan perbelanjaan mencecah RM337 juta (SAR400 juta) kepada ekonomi Kota Makkah.
Perbelanjaan ini semata mata dari jualan ole-ole yang dibeli oleh jemaah haji untuk dibawa pulang sebagai kenang kenangan dari kota agung ini.
Menurut akhbar Al Madinah yang berpengkalan di Jeddah, antara ole-ole yang paling laris adalah minyak atar, batu permata dan cincin, tasbih, sejadah serta jubah.
Kedai kedai menjual kurma, kismis dan kekacang juga menjadi tumpuan para jemaah.
Jemaah haji Malaysia juga tidak ketinggalan berbelanja setelah lebih sebulan menumpukan perhatian dan tenaga pada ibadat umrah dan haji.
Urusan kewangan mereka dipermudah dengan adanya pejabat kewangan di setiap satu dari enam maktab penginapan di kota Makkah.
Setiap jemaah diberi kemudahan untuk mengeluarkan sehingga 10 ribu Riyal seorang sehari di kaunter kaunter kewangan Tabung Haji.
Proses penghantaran pulang barangan dipermudah dengan adanya kaunter pengeposan yang disediakan rakan Tabung Haji,
Di Abraj Janadiriyah, urusan pengeposan disediakan oleh Pos Malaysia yang juga menyediakan kemudahan penghantaran air zam zam terus ke pintu penerima di Tanah Air.