Jelajah Jiwa SME oleh Astro AWANI bakal bertemu PMKS Kelantan Jumaat dan Sabtu ini

Fairus Nordin
September 14, 2023 15:44 MYT
'JIWA SME' anjuran Astro AWANI bakal singgah ke Kelantan pada Jumaat dan Sabtu ini.
'JIWA SME' anjuran Astro AWANI bakal singgah ke Kelantan pada Jumaat dan Sabtu ini.
Penganjuran acara yang bertujuan memperkasakan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dalam mendepani era digital ini memasuki edisi ketiga dalam lima siri jelajahnya.
Siri jelajah yang dikenali sebagai 'Jelajah Jiwa SME’ ini adalah satu acara yang menggabungkan sesi perkongsian dari pakar industri, usahawan PMKS, bengkel ilmu, dan pameran produk-produk tempatan menerusi reruai yang yang menawarkan perkhidmatan kepada para usahawan dan orang ramai yang berkunjung.
Siri ‘Jelajah Jiwa SME’ ketiga ini bakal berlangsung selama dua hari bermula 15 hingga 16 September 2023 dan bertempat di Aeon Mall Kota Bharu.
Antara pengisian tumpuan pada kali ini ialah sesi ‘Saya Jual’ di mana sesi pembentangan dan pameran produk oleh para usahawan tempatan.
Mereka akan membentangkan idea dan kertas kerja perniagaan mereka untuk dinilai oleh 3 panel juri.
‘Saya Jual’ pada kali ini bakal menampilkan 15 orang usahawan berpotensi antaranya, Mohd Salahuddin Shaari; pemilik Koperasi Penternak Akuakultur Pantai Kundor Kelantan Berhad, Prof Dr Harmy Mohamed Yusof; pemilik Koperasi Amal Medik Malaysia Berhad, Nur Izzatie Haji Zulkifli; pemilik RZ Garden Enterprise, Mohd Sadruddin Ab Ghani; pemilik Otai Tembaga Kota Bharu, dan beberapa lagi usahawan lain.
Penganjuran ‘Saya Jual’ kali ini bakal menobatkan seorang pemenang untuk kategori ‘Penyertaan Terbaik’ dan dua pemenang kategori ‘Penyertaan Berpotensi’.
Peserta kali ini bakal dihakimi oleh juri yang terdiri dari Astro AWANI, Unifi Business, dan Bank Rakyat.
Lebih menarik, ‘Saya Jual’ di Kelantan ini adalah segmen tajaan oleh Bank Rakyat.
Pengisian lain yang turut bakal berlangsung ialah bengkel keusahawanan oleh TikTok Shop, Unifi Business dan ‘Santai Namun Sampai’ yang dibawakan khas oleh Bank Rakyat.
Pengunjung yang hadir juga bakal di sajikan dengan perkongsian kisah kejayaan oleh usahawan tempatan yang berjaya seperti Hash Cream Food Industries dan Primer Cherang Sdn Bhd.
Bengkel-bengkel keusahawanan dan perkongsian kisah kejayaan ini diharap dapat memberikan ilmu yang bermanfaat kepada para usahawan PMKS untuk lebih berdaya saing selain dapat diterapkan dalam perniagaan mereka.
Seperti penganjuran-penganjuran yang sebelumnya, ‘Jelajah Jiwa SME’ di Kelantan turut bakal membariskan beberapa persembahan menarik seperti nyanyian oleh Fendi Kenali & Den Manjo dan dikir barat oleh Titih Samudera yang menampilkan Fadil Turbo sebagai tukang karut.
Menariknya penganjuran ‘Jelajah Jiwa SME’ di Kelantan ini, persembahan-persembahan yang bakal disajikan akan menampilkan elemen Hari Malaysia yang turut berlangsung pada setiap 16 September.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah menarik melalui cabutan bertuah.
Untuk info, siri 'Jelajah Jiwa SME' oleh Astro AWANI ini telah berlangsung di Sabah dan Johor Bahru masing-masing pada 22 dan 23 Julai dan 2 dan 3 September yang lalu.
Siri ‘Jelajah Jiwa SME’ ini mendapat kerjasama dari Unifi Business selaku penaja utama, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi selaku rakan strategik dan Astro Radio sebagai rakan penyiar.
Bagi siri 'Jelajah Jiwa SME' di Kelantan ini, Aeon Mall Kota Bharu merupakan rakan penyedia lokasi.
'Jelajah Jiwa SME' bakal bertemu PMKS di beberapa lagi negeri seperti Pulau Pinang pada 21 dan 22 Oktober 2023 dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 24 hingga 26 November 2023.
Untuk maklumat lanjut mengenai ‘Jelajah Jiwa SME’ oleh Astro AWANI ini, sila layari www.jiwasme.com.my.
#Astro Awani #JIWA SME #PMKS #usahawan
;