Jelajah Jiwa SME 2024 JB labuh tirai, produk inovatif ‘Mi Sayur’ raih pakej media bernilai RM55,600

Amzar Alif
Julai 9, 2024 20:09 MYT
Ketua Pengarang Astro AWANi, Ashwad Ismail bersama tenaga kerja Jelajah Jiwa SME 2024 bergambar bersama pemenang kategori Penyertaan Terbaik segmen Pentas Jual iaitu Yumny Food. – Gambar Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Siri jelajah Jiwa SME 2024 yang dimulakan tahun ini di Johor Bahru melabuhkan tirai dengan penuh gilang-gemilang apabila produk ‘Mi Sayur’ oleh Yumny Food muncul sebagai pemenang kategori Penyertaan Terbaik pada segmen Pentas Jual seterusnya memperoleh pakej media bernilai sehingga RM55,600.
Menerusi segmen tersebut, Pengasas Yumny Food, Dr Khadijah Zakaria berkongsi mengenai produk inovatif miliknya yang memfokuskan keperluan nutrisi kanak-kanak yang pada masa kini lebih terdedah dengan makanan kurang berkhasiat dan mengandungi bahan kimia tambahan.
Menurutnya, beliau langsung tidak menjangkakan kemenangan tersebut namun bersyukur atas pengiktirafan itu dan berharap agar selepas ini produknya akan lebih berkembang sama ada di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.
“Nasihat kami kepada PMKS atau usahawan di luar sana, jangan ragu untuk mengambil peluang ini kerana program ini menyediakan platform untuk memperluaskan jaringan dan meningkatkan pengetahuan.
“Ia menerusi perkongsian pengalaman, strategi dan cabaran yang telah dihadapi bagi bersama-sama mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi.
“Dalam masa yang sama juga memberi pengiktirafan yang penting kepada pencapaian atau kerja keras anda selama ini,” ujarnya.
Menerusi segmen ‘Pentas Jual’ seramai 11 peserta terdiri daripada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berkongsi tentang idea perniagaan yang paling kreatif.
Selain itu, terdapat juga lebih 22 reruai yang menghiasi Jelajah Jiwa SME Johor Bahru kali ini iaitu tarikan utama yang bertujuan membuka peluang PMKS tempatan ini mempamerkan produk atau perkhidmatan mereka.
“Kami berharap program dan Kerjasama seperti ini berkekalan untuk pembangunan ekonomi dan inovasi dalam komunifi perniagaan,” tambah Khadijah Zakaria.
Dalam pada itu, kategori Penyertaan Berpotensi pula dimenangi oleh WAHDAH Technologies Sdn Bhd iaitu syarikat perkhidmatan kereta sewa dan juga OTSATE iaitu pengeluar sos cili serai.
Setiausaha Eksekutif WAHDAH Technologies Sdn Bhd, Ainur Rafeqah juga berpendapat segmen Pentas Jual memberikan peluang untuk memperluaskan lagi jangkauan dan memperkenalkan lagi produk atau perkhidmatan pihaknya kepada khalayak yang lebih luas.
“Semuanya bermula dari bawah, takut atau segan itu biasa tetapi mahu atau tidak untuk membuat perubahan itu terletak di tangan setiap usahawan.
“Pembawaan Jelajah Jiwa SME adalah santai dan membuatkan kami sebagai usahawan selesa untuk bekerjasama,” ujarnya.
Program yang dianjurkan oleh Astro AWANI dengan kerjasama penaja utama Unifi Business telah berjaya menarik penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta warga Johor untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ke arah transformasi digital dalam usaha menembusi pasaran antarabangsa.
Siri Jelajah Jiwa SME seterusnya akan ke negeri Perak iaitu di Ipoh pada September dan pastinya Astro AWANI akan sentiasa membuka gelanggang buat para usahawan menyerlahkan potensi perniagaan mereka.
Untuk makluman lanjut mengenai siri jelajah ini boleh layari jiwasme.com.my
#Jelajah Jiwa SME 2024 #Johor Bahru #PMKS #SME #Baterikereta com #WAHDAH #Yumny Food #BlueDuck #OTSATE #Pakar HR #Go Global
;