Jeffri Salim Davidson teraju Sime Darby berkuat kuasa 1 Dis

Bernama
November 15, 2017 21:50 MYT
Jeffri Salim Davidson. Foto simedarby.com
Sime Darby Bhd akan diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan baharu, Jeffri Salim Davidson, di samping ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan baharu, berkuat kuasa 1 Dis, 2017.
Ini susulan penyenaraian unit perladangan dan hartanahnya sebagai entiti berasingan pada 30 Nov, 2017, satu proses yang akan menyelaraskan perniagaan kumpulan Sime Darby.
Syarikat dengan operasi pelbagai itu juga bakal mengalu-alukan pengerusi baharunya, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.
Pengerusinya sekarang, Tan Sri Abdul Ghani Othman, berkata ini merupakan barisan individu unggul yang akan dapat meneraju syarikat melangkah kehadapan.
"Lembaga dan pengurusan kanan, dalam kalangan mereka, memiliki pengalaman luas dan kepakaran yang diperlukan untuk meningkatkan lagi tahap perniagaan dagangan dan logistik," kata Abdul Ghani dalam satu kenyataan hari ini.
Sime Darby akan menumpukan terutamanya bagi perniagaan dagangannya dalam sektor motor dan peralatan berat, selain melibatkan diri dalam sektor pertumbuhan utama seperti perniagaan logistik dan penjagaan kesihatan.
- BERNAMA
#Jeffri Salim Davidson #Ketua Pegawai Eksekutif #Sime Darby #Wan Abdul Aziz Wan Abdullah
;