JCorp bawa pelaburan bandar robotik bernilai RM15 bilion ke Johor
Bernama
Mei 14, 2017 07:31 MYT
Mei 14, 2017 07:31 MYT
Johor Corporation (JCorp) memeterai Perjanjian Hasrat Kerjasama dengan Siasun Robot Investment Co. Ltd untuk membangunkan tanah seluas 404 hektar bagi projek Robotic Future City di Johor bernilai RM15 bilion.
Perjanjian itu merupakan lanjutan kepada memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara JCorp, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Beijing Huize Boyuan Robot Investment Co. Ltd., anak syarikat Siasun, pada 14 April, 2017 di Shanghai, China.
Projek Robotic Future City disasarkan untuk melahir serta menarik tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam memenuhi aspirasi kerajaan untuk mewujudkan peluang pekerjaan pendapatan tinggi dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi wilayah itu, kata JCorp dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.
"Kerjasama strategik ini dengan Siasun merupakan satu langkah utama ke arah memanfaatkan teknologi canggih dalam bidang robotik, inovasi dan atomasi bagi memberi manfaat kepada Johor dan Malaysia," kata Presiden dan Ketua Eksekutifnya Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.
Majlis permeteraian tersebut disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersempena dengan forum antarabangsa "Belt and Road" yang diadakan di Beijing, China, pada Ahad.
Siasun merupakan organisasi terbesar pembangunan robotik di China dan yang ketiga terbesar di dunia. Ia tersenarai di Shenzhen Stock Exchange dengan permodalan pasaran sebanyak 40 bilion yuan (RM25 billion).
-- BERNAMA