Jaya Grocer lantik Daniel Teng CEO baharu

Bernama
September 10, 2024 04:10 MYT
Daniel Teng dilantik CEO baharu Jaya Grocer berkuat kuasa 1 Okt 2024. - Foto Dagang News
KUALA LUMPUR: Pengendali rangkaian pasar raya Jaya Grocer melantik Daniel Teng sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya berkuat kuasa 1 Okt, 2024.
Beliau menggantikan Adelene Foo yang akan menggalas jawatan pengerusi syarikat berkenaan.
"Teng yang ketika ini berkhidmat sebagai Timbalan CEO dan merupakan pemain penting dalam pertumbuhan syarikat, kini akan meneraju Jaya Grocer yang akan terus menyediakan pelbagai produk segar berkualiti tinggi pada harga nilai terbaik sambil memastikan pengalaman beli-belah terbaik untuk pelanggan," kata syarikat itu dalam kenyataan semalam.
Jaya Grocer berkata perubahan itu dibuat untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai peruncit premium besar terkemuka di Malaysia serta menyokong pertumbuhan dan kejayaan yang mampan.
Selain itu, ia juga bagi memastikan kesinambungan misi, visi dan nilai-nilai bersama ekosistem tersebut, katanya.
-- BERNAMA
#jaya grocer #Daniel Teng #CEO baharu #Adelene Foo
;