Jawatan dalam sektor ekonomi meningkat 1.5 peratus suku kedua 2024

Bernama
Ogos 14, 2024 17:07 MYT
Mohd Uzir berkata, peningkatan jumlah jawatan seiring dengan kadar pengangguran yang kekal stabil pada 3.3 peratus seperti yang direkodkan di Laporan Statistik Tenaga Buruh, Suku Tahun Kedua 2024. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jumlah jawatan dalam sektor ekonomi meningkat sebanyak 1.5 peratus dengan merekodkan 8.96 juta jawatan pada suku tahun kedua 2024, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).
DOSM dalam kenyataan hari ini memaklumkan statistik itu diterbitkan dalam laporan Statistik Guna Tenaga, Suku Tahun Kedua 2024 berdasarkan Survei Guna Tenaga yang dilaksanakan ke atas perniagaan berdaftar dalam sektor swasta.
Jabatan itu berkata laporan tersebut membentangkan statistik permintaan buruh, yang merangkumi indikator bilangan jawatan, jawatan diisi, kekosongan jawatan dan pewujudan jawatan mengikut kategori kemahiran dan aktiviti ekonomi.
Dalam kenyataan sama Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan jumlah jawatan ini seiring dengan kadar pengangguran yang kekal stabil pada 3.3 peratus seperti yang direkodkan di Laporan Statistik Tenaga Buruh, Suku Tahun Kedua 2024.
"Trend ini dijangka kekal stabil sehingga akhir tahun ini lanjutan daripada ekonomi domestik yang kukuh dan pemulihan perdagangan luar negeri.
"Melangkah ke hadapan, prestasi eksport dijangka meningkat, selari dengan potensi kemasukan pelaburan ke dalam negara ini yang akan mewujudkan lebih banyak jawatan," katanya.
Mengulas lebih lanjut mengenai bilangan jawatan diisi, beliau berkata trend peningkatan yang konsisten menggambarkan perkembangan ekonomi semasa, dan kestabilan juga dapat dilihat dengan jelas pada pertumbuhan tahun ke tahun yang positif bagi semua sektor ekonomi pada suku tahun ini.
Mohd Uzir berkata sektor pembuatan menyumbang 33.9 peratus, mewujudkan 10.8 ribu jawatan baharu yang didominasi oleh subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal dengan 3.9 ribu pewujudan jawatan, manakala sektor pembinaan merangkumi 11.6 peratus, bersamaan 3.7 ribu jawatan.
Beliau berkata permintaan buruh dijangka kekal stabil sepanjang tahun 2024 dengan trend pengambilan pekerja yang positif didorong oleh pertumbuhan yang kukuh dalam sektor perkhidmatan.
"Petunjuk ini juga disokong oleh momentum positif yang berterusan dalam ekonomi domestik dan pemulihan perdagangan global, terutamanya dalam sektor pembuatan," katanya sambil menambah ia selari dengan peningkatan bilangan penduduk bekerja sebanyak 1.2 peratus yang dilaporkan dalam Laporan Statistik Tenaga Buruh, Suku Tahun Kedua 2024.
Selain itu, jelasnya peningkatan jumlah pekerja dari tahun ke tahun sebanyak 1.7 peratus bagi sektor perkhidmatan sepertimana dilaporkan dalam penerbitan Perangkaan Perkhidmatan Suku Tahunan, Suku Tahun Kedua 2024 juga selari dengan momentum positif yang diperkukuhkan oleh perkembangan aktiviti ekonomi.
-- BERNAMA
#ekonomi #jawatan #DoSM #laporan Statistik Guna Tenaga
;