Japan Airlines perkenal Boeing 787-9 dengan hiasan dalaman terbaharu di KLIA

Bernama
September 1, 2016 21:58 MYT
Ruang kabin yang lebih selesa menjadi taruhan Japan Airlines. - Foto sumber travel.watch.impress.co.jp
Japan Airlines (JAL) hari ini memperkenalkan Boeing 787-9 yang dilengkapi dengan hiasan dalaman terbaharu yang dipanggil JAL Sky Suite 787 (SS9) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Kuala Lumpur menjadi destinasi Asia pertama di luar Jepun yang menyaksikan konfigurasi kabin tersebut.
Pengerusi JAL Masaru Onishi berkata, SS9 diterima pakai dalam konfigurasi tiga kelas tempat duduk iaitu bisnes, ekonomi dan kelas ekonomi premium baharu untuk laluan Narita (Tokyo)-Kuala Lumpur yang beroperasi setiap hari, mulai hari ini.
"Dengan JAL 787-9, kami menawarkan tempat duduk JAL Sky yang boleh dibaringkan dalam kelas bisnes serta tempat duduk JAL Sky yang lebih selesa dalam kelas ekonomi premium.
"Kami juga mengekalkan konfigurasi 2-4-2 sedia ada meningkatkan keselesaan tempat duduk SS9 dalam kelas ekonomi dengan ruang kaki yang lebih luas," katanya kepada pemberita semasa ketibaan pesawat itu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Narita.
#Boeing 787-9 #hiasan dalaman #JAL #JAL Sky Suite 787 #Japan Airlines #ruang kabin
;