Jangkauan pasaran industri pembrokeran harus berubah dalam persekitaran teknologi disruptif

Bernama
Februari 27, 2024 04:15 MYT
Muhamad Umar berkata, industri pembrokeran saham harus memanfaatkan kuasa teknologi baharu untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelabur. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Industri pembrokeran saham perlu bersaing dan mengubah cara ia menjangkau pasaran dalam persekitaran teknologi disruptif, kata Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Muhamad Umar Swift.
Beliau berkata, industri berkenaan harus memanfaatkan kuasa teknologi baharu untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelabur, pada masa yang sama menarik pelabur generasi muda.
"Generasi muda ini (pelabur) adalah celik digital, pengguna peranti mudah alih dan didorong oleh pengalaman, sehubungan itu kita perlu menjadikan pelaburan lebih menarik dan mudah untuk melabur pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja untuk generasi milenial dan Gen Z yang celik teknologi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada majlis pelancaran aplikasi pelaburan Moomoo Malaysia oleh Futu Malaysia Sdn Bhd, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, pelancaran super app pelaburan berkenaan adalah bersempena dengan kemasukannya ke pasaran Malaysia dan menjadi organisasi ke-30 yang mengambil bahagian dalam Bursa Malaysia.
Muhamad Umar berkata, inovasi seperti app super Moomoo menandakan peranan penting oleh teknologi dan maklumat yang dipacu tarikh dan maklumat, menjadikan pelaburan lebih mudah diakses dan lebih cekap dengan menggabungkan perdagangan, pelaburan, penyelidikan, peralatan dipacu kecerdasan buatan dan analisis data dalam aplikasi intuitif tunggal.
"Dengan menyediakan pengguna antara muka mesra pengguna dan kos lebih rendah, aplikasi itu membuka peluang pelaburan kepada lebih ramai pelabur.
"Peluang pelaburan melangkaui akses. Ia juga mengenai memupuk keterangkuman dan kepelbagaian, memastikan semua orang tanpa mengira umur, latar belakang dan pengalaman pelaburan boleh menyertai dan mengejar peluang kewangan melalui pasaran saham," katanya.
Muhamad Umar berkata, Bursa Malaysia memulakan tahun ini dengan baik dengan pasarannya meningkat secara berterusan dan indeks penanda aras telah melepasi 1,500 mata pada 23 Februari 2024, mencapai paras tertinggi sejak Jun 2022, mencerminkan keyakinan pelabur walaupun menghadapi pelbagai cabaran.
"Walaupun kenaikan kadar faedah dan ketidaktentuan global menimbulkan cabaran, asas kukuh Malaysia dan inisiatif ekonomi proaktif menawarkan potensi pertumbuhan dan keyakinan untuk prestasi berterusan pasaran.
"Bagaimanapun, pertumbuhan sahaja tidak mencukupi. Kita juga mesti mengutamakan celik kewangan dalam kalangan pelabur kerana dalam landskap kewangan yang sentiasa berubah hari ini, pengetahuan adalah penting," katanya.
Beliau berkata, melengkapkan dan memperkasakan pelabur dengan pengetahuan dan peralatan yang sesuai untuk membuat keputusan termaklum, mengemudi pasaran dengan yakin dan menjamin masa depan kewangan mereka adalah penting dalam mengekalkan pasaran yang cergas.
"Justeru, pelancaran aplikasi pelaburan Moomoo Malaysia adalah tepat pada masanya kerana peralatan dan sumbernya yang mesra pengguna dan mudah diakses melengkapkan usaha kami untuk meningkatkan ekosistem, membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menyertai pasaran modal dengan lebih yakin dan berkesan.
"Selain platform untuk perdagangan dan pelaburan, aplikasi pelaburan itu juga berfungsi sebagai hab pendidikan dengan lebih 600 sumber dan bahan pendidikan untuk semua peringkat pelabur," katanya.
- BERNAMA
#Bursa Malaysia #generasi muda #teknologi baharu #Gen Z
;