Jangan spekulasi isu TPPA - Chua

Nurulhana Ismail
Oktober 6, 2015 21:17 MYT
Menurut Chua, Malaysia memerlukan pasaran yang lebih luas untuk berkembang. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong menggesa semua pihak menghentikan spekulasi di sebalik persetujuan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-pasifik (TPPA) di Atlanta, Amerika Syarikat kerana ia belum dimuktamadkan.
Beliau berkata, wujud kebimbangan terhadap kesan perjanjian TPP jika ia benar-benar dilaksanakan kelak.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa kepentingan nasional sentiasa diberi keutamaan oleh kerajaan.
"Antara kebimbangan termasuk samada polisi kerajaan dalam membantu bumiputera akan turut terkesan susulan pelaksanaan TPPA.
"Selain itu kita juga ada banyak subsidi diberikan seperti subsidi pertanian serta bantuan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). TImbul kebimbangan sekiranya ia akan dihapuskan dalam usaha mewujudkan perdagangan adil dan bebas.
"Ini semua akan dilihat kerajaan dan kita sedar rakyat bimbang akan keadaan ini. Tapi baiknya adalah ia akan dibahaskan di parlimen dan akan diperlihat kepada awam, untuk itu jangan terlalu berspekulasi bahawa kita telah mempersetujui semua perjanjian itu," katanya selepas menghadiri majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Perancangan Kewangan Malaysia dan Segi Universiti di sini, hari ini.
Menurut Chua, Malaysia memerlukan pasaran yang lebih luas untuk berkembang.
Sehubungan itu, katanya pelaksanaan perjanjian TPP wajar dipertimbangkan.
Tambahnya lagi, ekonomi besar seperti China dan India tidak memerlukan TPPA kerana keadaan pasarannya yang bukan kecil seperti Malaysia.
Ketika ni, Malaysia berada di tangga 35 pasaran perdagangan global.
Teks penuh intipati perjanjian TPP akan didedahkan dalam tempoh 30 hari sebelum dibahaskan di parlimen untuk diluluskan.
#Chua Tee Yong #Mustapa Mohamed #Najib Tun Razak #Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik #TPPA
;