'Jangan lupa jasa peneroka awal Felda' - PM Anwar

Bernama
September 12, 2024 16:38 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan perasmian Majlis Santunan Budi Tautan Kasih Felda MADANI di Padang Bandar Felda Sahabat hari ini. - fotoBERNAMA
LAHAD DATU: Jasa peneroka awal Felda jangan sesekali dilupakan kerana golongan itu merupakan pengasas tanah rancangan tersebut dan hasil usaha mereka, dinikmati generasi masa kini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata golongan itu cekal meredah dan membersihkan hutan belantara bagi menjayakan tanah rancangan Felda dan tanggungjawab itu bukan suatu tugas yang mudah.
"Kita juga tidak boleh lupa kerana pelan awal bukan seperti sekarang. Pada masa itu, tiada jalan ataupun sekolah. Para peneroka masuk dan bersihkan hutan belantara.
"Ini adalah jasa bapa dan ibu yang jadi pengasas serta peneroka awal. Jadi, kita kena hormat dan berterima kasih kepada mereka," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Segalanya Felda di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata berkat penerokaan dan pengorbanan peneroka awal itu, Felda telah berkembang pesat dan hasil yang dikeluarkan daripada tanah rancangan itu juga berkualti tinggi serta diiktiraf di peringkat dunia.
Anwar berkata jasa dan khidmat bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein dalam penubuhan Felda juga tidak boleh dilupakan, kerana program tanah rancangan dibangunkannya itu amat hebat dan membantu rakyat miskin.
"Rakyat miskin tiada tanah dan pekerjaan, tetapi diberi tanah dan pekerjaan. Pada masa itu, mereka terpaksa pinjam daripada bank untuk memulakan projek itu," katanya.
-- BERNAMA
#Felda #Anwar Ibrahim #Abdul Razak Hussein #program tanah rancangan
;