Jambatan Angkat Kuala Terengganu, pertama di dunia guna tenaga solar sepenuhnya

Dagang News
Mac 10, 2025 10:30 MYT
TI Properties Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Terengganu Inc telah dilantik sebagai pengendali pelaksana untuk pengurusan dan kendalian Jambatan Angkat Kuala Terengganu. - Foto DagangNews
KUALA TERENGGANU: Jambatan Angkat Kuala Terengganu menjadi jambatan pertama di dunia yang beroperasi dengan penggunaan 98 peratus tenaga solar.
Jambatan ikonik yang terletak di pusat bandar raya Kuala Terengganu itu juga turut didaftarkan di bawah Green Energy Tariff dan telah menerima sijil pengiktirafan daripada The International Tracking Standard Foundation.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, usaha itu adalah antara inisiatif syarikat untuk membantu negara mencapai matlamat kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
"Kadar penggunaan elektrik tahunan di jambatan angkat ketika ini ialah 176 megawatt untuk menara utara dan 294 megawatt di menara selatan.
"Kita optimis usaha dekarbonisasi dan beralih kepada Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) ini akan terus melonjakkan jambatan angkat Kuala Terengganu sebagai destinasi pelancongan terulung dunia," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian pengurusan dan pengoperasian jambatan angkat antara kerajaan negeri dengan Terengganu Inc di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau berkata, Terengganu Inc akan terus memastikan operasi pengendalian jambatan itu dapat dikawal selia dengan baik sekali gus mengurangkan isu-isu yang boleh memberi implikasi negatif kepada imej kerajaan negeri.
"Sehubungan itu, TI Properties Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Terengganu Inc telah dilantik sebagai pengendali pelaksana untuk pengurusan dan kendalian Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
"Sehingga Disember 2024, kos keseluruhan bagi operasi dan penyelenggaraan jambatan ini telah mencecah RM11.75 juta termasuk perbelanjaan komersial dan penyelenggaraan.
"Selain itu, Terengganu Inc telah menanggung sebanyak RM8.12 juta bagi kos penyelenggaraan terlibat," katanya.
Pembinaan jambatan itu adalah sebahagian komponen pembangunan pusat bandar raya Kuala Terengganu oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) membabitkan kos RM249 juta dan menjadi mercu tanda ikonik baharu yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.
Jambatan sepanjang 638 meter dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut itu menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir yang menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara.
Mula dibina pada Ogos 2014, jambatan angkat terpanjang di dunia itu yang disokong dua menara setinggi 15 tingkat di bahagian kiri dan kanan dan boleh diangkat di bahagian tengah untuk laluan kapal telah meraih pelbagai anugerah sejak mula beroperasi pada tahun 2019. - DagangNews.com
#Kuala Terengganu #jambatan angkat #tenaga solar #Burhanuddin Hilmi Mohamed #terengganu inc
;