Jadual ketat untuk Najib di Davos

Bernama
Januari 23, 2013 13:13 MYT
Walau pun berhadapan suhu sejuk yang membeku, Datuk Seri Najib Tun Razak akan terus mengharunginya di sini mengikut jadual yang ketat sepanjang penyertaannya pada World Economic Forum (WEF) yang berprestij tahun ini, yang bermula Rabu.
Najib, yang akan menghadiri WEF sebagai Perdana Menteri bagi pertama kalinya, akan melakukan lebih 10 kunjungan hormat terhadap para pemimpin asing, pertemuan bersemuka dengan para pemimpin perniagaan serta pertemuan dua hala.
Duta Malaysia ke Switzerland Datuk Ho May Yong berkata Perdana Menteri dijemput oleh Pengerusi Eksekutif WEF Prof Klaus Schwab bagi menghadiri forum itu untuk berkongsi kemajuan transformasi Malaysia.
"Perdana Menteri memutuskan untuk menerima jemputan itu," katanya kepada para wartawan Malaysia yang meliputi acara itu, lewat Selasa, di pusat peranginan itu, yang mengalami suhu di bawah paras beku, angin sejuk dan keadaan berkabus.
Mesyuarat tahunan WEF itu, yang sememangnya dinanti-nantikan, menghimpunkan para pemimpin dari pelbagai kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil bagi membincangkan pelbagai isu global yang meluas.
Acara tahun ini, yang bertemakan "Resilient Dynamism" menyediakan platform bagi menonjolkan pertumbuhan dan peluang ekonomi yang cergas Malaysia walau pun berlatarbelakangkan ketidaktentuan ekonomi global sejak banyak tahun kebelakangan ini.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, ditemani oleh isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Maximus Ongkili, Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) Datuk Seri Idris Jala dan para pegawai kanan pelbagai kementerian dan agensi.
Delegasi pegawai tinggi itu akan turut termasuk penyertaan komuniti perniagaan Malaysia.
Antara matlamat penyertaan Najib ialah untuk berkongsi pencapaian Malaysia di dalam agenda pembangunan, khususnya pelaksanaan inisiatif di bawah program transformasi.
"Ringkasnya, ia bertujuan menjelaskan kejayaan kita yang memfokuskan pada ETP (Program Transformasi Ekonomi) dan daya saing ekonomi," katanya.
Malaysia kini sedang melaksanakan transformasi ekonomi ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Ho berkata Perdana Menteri akan mengambil peluang mempromosikan Malaysia sebagai satu negara progresif dan berfikiran ke hadapan dengan mempunyai ekonomi progresif serta merupakan satu lokasi menarik bagi pelaburan.
"Destinasi pelancongan yang unik Malaysia, berserta kepelbagaian budaya akan turut dipromosikan selain meningkatkan persepsi positif negara."
"Penekanannya sudah tentu dihalakan terhadap kestabilan Malaysia pada ruang lingkung politik, ekonomi dan sosial,: katanya.
Ho berkata kehadiran Najib di sini "sangat strategik dan diselaraskan" di segi bahawa "ia akan dilakukan di dalam konteks penyertaannya di dalam sesi WEF serta semasa pertemuan dengan komuniti perniagaan dan menjadi hos bagi Malam Malaysia.
Perdana Menteri dijadualkan mengambil bahagian di dalam beberapa sesi pada mesyuarat tahunan WEF itu, seperti sesi interaktif bagi membincangkan masalah ekonomi global dan kesan buruknya.
Pada sesi sidang pleno yang lain, Najib, bersama-sama rakan sejawatannya dan para pemimpin negara Asean yang lain, akan memperincikan mengenai cara-cara perancangan Asean untuk melaksanakan gelombang pertumbuhan seterusnya.
Perdana Menteri akan turut ditemu ramah oleh wartawan CNN, Fareed Zakaria, di mana beliau akan mengambil kesempatan menjelaskan mengenai usaha dan pencapaian serta menonjolkan cara-cara Malaysia mengekalkan transformasi ekonomi dan politik.
Najib akan turut menghoskan majlis makan tengah hari dengan para pegawai korporat di mana beliau akan menekankan mengenai usaha pemberian bantuan semula jadi bagi transformasi dan mempromosikan Malaysia sebagai satu destinasi pelaburan perdana.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat-syarikat dan perbadanan multinasional antarabangsa, pengurus dana, ahli-ahli perbankan dan perunding terpilih akan mengambil bahagian pada acara itu.
Perdana Menteri akan menghoskan satu Malam Malaysia bagi menonjolkan pencapaian Malaysia serta meningkatkan kehadiran Malaysia di WEF.
Malam Malaysia itu dijangka menjadi acara yang menakjubkan yang terdiri daripada pendekatan pertunjukan tiga segmen mengenai masa silam, semasa dan kemungkinan masa depan Malaysia, yang ingin dicapai melalui wawasannya.
Ho berkata penyertaan ahli perniagaan Malaysia pada forum itu akan membolehkan mereka menjalin jaringan dengan ahli perniagaan dari seluruh dunia dan mencari peluang baharu.
Penyertaan para pegawai kerajaan dan ahli perniagaan di Forum Davos itu adalah sebahagian daripada inisiatif awam-swasta untuk membawa masuk lebih banyak pelaburan asing dan pelancong ke Malaysia, katanya.
#Davos #najib #Switzerland #WEF
;